Kamarul Zaman Mamat menunjukkan rampasan dadah dalam serbuan baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah susulan penahanan 17 individu termasuk sepasang suami isteri dalam lima serbuan berasingan di sini dan iskandar puteri.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkat, kesemua suspek terdiri daripada 15 rakyat tempatan termasuk tiga wanita dan dua wanita warga asing berusia antara 17 hingga 54 tahun itu ditahan dalam satu operasi khas antara jam 3 petang kelmarin hingga jam 9 pagi semalam.

Turut dirampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.6 juta dan peralatan membungkus semula serbuk ekstasi.

“Kita telah berjaya merampas 45 botol cecair ekstasi bernilai lebih RM11,000 dalam bentuk cecair, 21.66 kilogram dadah serbuk ekstasi yang bernilai lebih kurang RM1.6 juta dan seterusnya rampasan 24 peket ketamin serta 377 pil eramin five dan 10 biji pil ekstasi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam serbuan ini polis mendapati seramai 10 daripada suspek itu positif dadah, manakala sembilan suspek lagi mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah lain.

“Kita dapati mereka menggunakan kediaman gated and guarded untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah termasuk setor penyimpanan dan pembungkusan dadah jenis serbuk ekstasi.,” ujarnya.

Dalam operasi ini, polis turut menyita tujuh buah motosikal, merampas sejumlah wang tunai dan pelbagai barang kemas yang keseluruhannya berjumlah lebih RM1 juta.

Kesemua suspek ditahan reman lima hari bermula semalam hingga Rabu depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette