Johan Jaafar

KUALA LUMPUR – Wartawan veteran dan pengamal media memandang serius tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang didakwa sejak kebelakangan ini yang memberi amaran, memanggil dan menyekat beberapa portal berita.

Yang terbaharu, dakwa mereka, portal berita MalaysiaNow telah diarahkan untuk menurunkan kandungan berita mengenai kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat pada 19 September baru lalu.

Kumpulan wartawan veteran dan pengamal media itu turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan SKMM bertarikh 22 September berhubung dengan isu yang sama.

“Kami berpendapat reaksi SKMM hanya memperlihatkan kedangkalan badan pengawas itu dalam memahami tugas dan peranan media. Kenyataan itu juga membuktikan bahawa SKMM berselindung di sebalik Akta Komunikasii dan Multimedia 1998 untuk mewajarkan kewujudannya.

“Kami turut berasa kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku di Dewan Rakyat sewaktu penggulungan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Kami mengutuk sebarang perbuatan mana-mana Ahli Parlimen yang bertindak di luar adab dan tata susila selain melanggar peraturan mesyuarat yang menyebabkan berlakunya kekecohan pada hari itu.

“Namun demikian apa yang berlaku di Dewan Rakyat itu telah disiarkan secara langsung untuk tatapan rakyat negara ini dan cebisan daripada peristiwa kekecohan itu boleh didapati dalam semua platform media sosial.

“Maka itu adalah tidak adil untuk menyalahkan mana-mana portal berita yang melaporkannya. Alasan SKMM bahawa beberapa pelaporan telah “dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan” sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan.

“Bilakah masanya membuat laporan peristiwa yang berlaku menjadi satu kesalahan di negara ini?,” soal mereka.

Setakat jam 3.45 petang tadi, sebanyak 21 pengamal media termasuk wartawan veteran yang setuju dengan perkara tersebut.

Mereka ialah:
[1] Tan Sri Johan Jaaffar
[2] Datuk A Kadir Jasin
[3] Datuk Seri Azman Ujang
[4] Datuk Dr Datuk Hussamuddin Yaacob
[5] Datuk Dr Chamil Wariya
[6] Datuk Zakaria A Wahab
[7] Datuk Zulkefli Hamzah
[8] Datuk Zaini Hassan
[9] Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid
[10] Ashwad Ismail
[11] Ku Seman Ku Hussein
[12] Dr G Manimaran
[13] Zainal Rashid Ahmad (ZRA Strim)
[14] Johardy Ibrahim
[15] Esther Ng Sek Yee
[16] Kuik Cheng Kang
[17] Zamri Rambli
[18] K. Padmanabhan S. Kanayah
[19] Rashid Yusof
[20] The Centre for Independent Journalism, Malaysia (CIJ)
[21] Gerakan Media Merdeka (GERAMM)

Mereka berpendapat, dalam konteks ini SKMM tidak seharusnya memberikan kuliah tentang apa itu “pelaporan yang tepat”.

Sebaliknya, mereka berpendapat SKMM sengaja mencari musuh yang salah bagi mewajarkan tindakannya.

Sedangkan, rata-rata pengamal media memahami tanggungjawab mereka serta dipandu oleh profesionalisme dan etika kewartawanan.

“Masalah yang dihadapi oleh SKMM dalam menangani media sosial tidak harus dijadikan alasan untuk membendung hak pengamal media menjalankan tugas mereka.

“Kami juga memahami bahawa tidak ada kebebasan media yang mutlak di mana-mana di dunia. Tetapi pengamal media harus bekerja dalam suasana yang tidak sempurna itu untuk menjadi mata dan telinga kepada rakyat,” ujar mereka.

Sehubungan itu, tambah mereka, SKMM harus faham bahawa dalam sistem demokrasi media bebas dan bertanggungjawab adalah pra-syarat yang utama.

“Kami juga ingin mengingatkan SKMM bahawa YAB Perdana Menteri telah berkali-kali menekankan pentingnya media bebas dan bertanggungjawab. Beliau juga berjanji akan mengambil sikap terbuka terhadap kritikan atau teguran.

“Langkah SKMM kebelakangan ini sama sekali bertentangan dengan semangat YAB Perdana Menteri yang mahu melahirkan suasana media yang kondusif untuk para pengamalnya bekerja tanpa ragu dan takut,” ujar mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Elok la juge kalau siapa2 ada salinan report mahkamah tu, harap dapat siar semula. Buat pengajaran buat generasi sekarang dan mendatang.

    Ramai nak tengok report doktor pakar forensik, ahli kimia dan pakar DNA tu. DNA jarang2 menipu apatah lagi nak spin 360 derajah aka 25,000 RPM?

Comments are closed.