KUALA LUMPUR – Orang ramai dijemput untuk menghadiri sesi dialog awam bertajuk ‘Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’ di Tingkat Mezanin, Wisma MCA di sini pada 1 Oktober ini.
Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, program yang bermula pada pukul 2 petang itu bertujuan merungkai kekeliruan mengenai kes-kes mahkamah yang melibatkan individu berprofil tinggi di negara ini.
Menurut beliau, ada yang tertanya-tanya mengapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadapi banyak kes mahkamah yang berlanjutan seolah-olah tiada penghujungnya.
“Adakah anda tahu dan memahami konsep 1Malaysia yang telah menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi serta memastikan keadilan sosial terutamanya untuk komuniti yang terpinggir?
“Adakah anda ingin mendengar pandangan daripada para pakar dan mereka yang memahami tentang sebab-sebab keadilan dinafikan daripada Datuk Seri Najib?
“Segala persoalan anda akan diperdengarkan dan dijawab dalam sesi ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan Rangkaian Kebajikan Erat Nusa Rakyat (BeNAR) Malaysia, Nusa Sejagat Malaysia, Malaysian Youth Activist (Malaya) dan UMNOSiswa.
Ahli-ahli panel terdiri daripada Presiden BeNAR Malaysia, Dr Ismail Ali; peguam terkemuka, Tan Sri Shafee Abdullah; peguam kanan, Kamarudin Ahmad; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil; Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri R S Thanenthiran; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker serta Farhan Khairuddin dan Dr Aaron Yusof Abdullah.
Mereka yang berminat untuk menghadiri sesi dialog yang dikendalikan pengacara, Nik Suryani Megat Deraman itu boleh mendaftar secara percuma melalui pautan https://tinyurl.com/utksiapa atau dengan mengimbas kod QR yang tertera pada poster hebahan program. – MalaysiaGazette