Wee Ka Siong MCA
Wee Ka Siong (tengah) bersama barisan kepimpinan MCA bagi penggal baharu setelah selesai pemilihan parti di Wisma MCA, Kuala Lumpur, malam tadi. - Gambar: Facebook

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berjaya mempertahankan jawatan Presiden MCA untuk penggal kedua setelah menewaskan pencabarnya, Datuk Tan Chong Seng dalam pemilihan parti tahun ini.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu beroleh 569 undi manakala Chong Seng yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pusat MCA menerima hanya 11 undi.

Berikutan kemenangan itu, Ka Siong berjanji akan melakukan yang terbaik dalam meningkatkan reputasi dan mengembalikan kegemilangan MCA.

Menurut beliau, kemenangannya juga merupakan tanggungjawab yang perlu digalas dengan lebih komited bersama barisan kepimpinan yang baharu.

“Cabaran kita (MCA) besar dan banyak lagi liku politik yang perlu dilalui tetapi saya yakin dengan pasukan baharu yang dibentuk, kita yakin merencanakan strategi dan juga pelbagai program untuk memastikan parti ini boleh melakukan sesuatu yang seiring dengan peredaran zaman,” katanya seperti dipetik daripada MCA Online, hari ini.

Selain itu, Datuk Dr Mah Hang Soon turut mengekalkan jawatan Timbalan Presiden selepas menang tanpa bertanding.

Jawatan Naib Presiden dimenangi oleh Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong, Datuk Tan Teik Cheng dan Datuk Lawrence Low Ah Keong.

Wong You Fong dipilih sebagai Ketua Wanita MCA manakala ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon dipilih sebagai Ketua Pemuda MCA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast