Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias

SEREMBAN – Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menukar kampit beras putih tempatan kepada beras putih import di peringkat pengilang atau pemborong.

Exco Kanan Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu dikesan dalam beberapa operasi bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa baru-baru ini.

Menurut beliau, tujuan mereka adalah bagi mendapatkan keuntungan berganda atas keperitan yang dihadapi rakyat.

“Soal saya, di manakah hilangnya nilai integriti pengilang dan pemborong yang melakukan perbuatan ini?

“Saya tidak boleh berkompromi terhadap tindakan sesetengah pihak yang ‘menangguk di air keruh’ sehingga menyebabkan para pengguna dan rakyat menjadi mangsa ketamakan sesetengah pengilang dan pemborong,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Jalaluddin menambah, mereka yang terlibat harus diburu dan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Peraturan Kawalan Gred dan Harga serta Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Pada masa yang sama, beliau menasihatkan para pengguna di Negeri Sembilan agar tidak melakukan pembelian panik untuk mendapatkan beras.

“Pilihlah untuk mematuhi syor pihak berwajib dan selepas itu yakinlah bahawa keadaan akan kembali seperti biasa,” jelasnya.

Jalaluddin turut menafikan bahawa kerajaan dan jenteranya tidak cakna atau sekadar berdiam diri mengenai isu kekurangan bekalan beras di pasaran tempatan.

“Hakikatnya, kerajaan sudah dan sedang berusaha untuk memastikan bekalan beras tidak akan terputus, memandangkan ia merupakan makanan ruji rakyat di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast