BENTONG – Penerimaaan masyarakat Orang Asli di Pelangai di sini terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah berubah dan masih utuh sehingga kini.
Golongan orang asal itu ingin mengekalkan logo dacing bagi terus menikmati pembangunan dan perubahan demi anak bangsa mereka.
Bagi Batin Yihang Datoh dari Perkampungan Orang Asli Kampung Ulu Semei, para pengundi lebih yakin wakil rakyat dari BN memahami apa kehendak mereka.
“Dulu masa Datuk Seri Johari datang sebelum mengundi dan selepas PRU-15 juga datang menziarah. Hasil dari rakyat dari dulu inilah hasilnya, ada jalan, air, api dan rumah.
“Dari dulu sampai sekarang memilih dacing dan menerima juga calon di mana dia juga perkenalkan diri kepada penduduk jadi masyarakat di sini mengenali Amizar.
“Sebelum ini mereka juga ternanti-nanti siapakah yang akan memimpin. Jika terpilih Armizar akan dapat terus berbakti kepada golongan kami,” katanya.
Yihang berkata demikian ketika meraikan ziarah oleh Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam yang menziarah masyarakat Orang Asli di KOA Ulu Semei dan KOA Sungai Gapoi di Telemong hari ini.
Tambah Yihang mereka melihat perubahan demi perubahan yang berlaku kepada masyarakat Orang Asli dan masih memberi kepercayaan kepada kepimpinan BN.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, tiga perkampungan utama orang Asli Sungai Bot, KOA Ulu Semei dan KOA Sungai Gapoi antara 16,420 pemilih berdaftar akan menunaikan tanggungjawa pada 7 Oktober nanti.
Manakala bagi Kartini Hassan, 48, berkata, sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN memang sejak dari generasi nenek moyang mereka lagi.
“Daripada dulu sokongan dari sampai sekarang, tetap sayang. Kenapa BN, entahlah sudah dalam hati hati payah nak ubah untuk kami.
“Namun isu masyarakat Orang Asli lebih kepada tanah, kalau boleh masalah tanah untuk masyarakat Orang Asli diwartakan, harap sangat dengan BN dapat bantu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di KOA Sungai Gapoi hari ini.
Menurut Talib Muhammad, 42, pula, beliau tetap menyokong legasi pemerintahan kerajaan selagi mana BN berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat.
Jelasnya , sokongan dan kepercayaan diberikan bagi terus membela masib mereka yang inginkan pembangunan.
“Tengok kalau dia terbaik memang kami akan terus sokong BN. Orang Asli suka dengan calon BN . Sekarang kami cuma nak sokong calon dan naikkan calon supaya dia dapat mempimpin dan membangunkan orang Asli di sini,” katanya. – MalaysiaGazette