Ayob Khan berucap ketika menjadi ahli panel Seminar Pembudayaan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Bagi Memperkasa Masyarakat Madani di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan satu modul khas untuk mengatasi masalah buli dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara bulan depan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, modul berkenaan adalah penambahbaikan daripada Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja (Mekar) yang diperkenalkannya ketika menjadi Ketua Polis Johor tiga tahun lalu.

Menurutnya, ia akan terpakai untuk semua golongan pelajar bermula dari Tahun 1 sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi yang turut melibatkan kaunselor-kaunselor universiti.

“Dua tiga minggu atau sebulan lagi kita akan lancarkan modul ini di seluruh Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan  (KPM).

“Sekarang ini kita sedang kita dalam proses untuk susun balik modul (Mekar) yang pernah kita lancarkan di Johor dulu namun terhenti kerana isu Covid-19,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

Beliau berkata demikian dalam ketika menjadi ahli panel Seminar Pembudayaan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Bagi Memperkasa Masyarakat Madani di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal hari ini.

Perasmian seminar anjuran Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) itu disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hadir sama Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Penyelaras HAWA Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, ketika ini, sebarang isu kesalahan buli termasuk buli siber dilakukan pelajar sekolah akan dirujuk kepada pegawai perhubungan sekolah (PPS) mengikut daerah.

“Kita yakin, modul (Mekar) ini akan beri impak yang besar untuk digunapakai di semua peringkat sekolah dan universiti apabila ia dilancarkan bulan depan,” katanya. – MalaysiaGazette