Anggota polis membawa pemandu treler ke mahkamah untuk dituduh terbabit dalam kemalangan melibatkan 14 kenderaan dan mengorbankan dua nyawa di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI., 25 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Pemandu treler mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebabkan kemalangan melibatkan 14 kenderaan sehingga mengorbankan dua nyawa di Kilometer (KM) 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya pada Rabu lalu.

Tertuduh, Muhammad Izzatul Shafik Mozahari, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 29 tahun itu memandu secara merbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun termasuk denda maksima RM50,000.

Majistret kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000.

Manakala tarikh sebutan ditetapkan, 25 Oktober.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Amalina Abu Hanifa menawarkan ikat jamin RM10,000 namun jumlah berkenaan dikurangkan selepas tertuduh merayu jumlah berkenaan dikurangkan. 

Dalam masa yang sama tertuduh diarahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Selain itu, lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Dalam kejadian yang berlaku pada 10.15 pagi Rabu lalu, treler yang dipandu tertuduh melanggar barisan kenderaan yang sedang berhenti di laluan terbabit menyebabkan dua penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang merupakan pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, pekerja di Mahkamah Ampang.

Sebagai rekod, pemandu treler berkenaan disahkan tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast