Allaudeen Abdul Majid

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur yakin dua suspek utama warga Sri Lanka yang masih diburu polis sejak malam Jumaat lalu berhubung kes pembunuhan tiga rakan senegaranya masih berada dalam negara ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid percaya kes dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurutnya, setakat ini polis sudah merakam keterangan dua orang iaitu pasangan suami isteri yang ditahan di lokasi kejadian.

Dalam sidang media Sabtu lalu, Allaudeen mengesahkan tentang penemuan tiga mayat warga Sri Lanka hasil pemeriksaan polis di sebuah bilik setor di tingkat dua rumah kedai empat tingkat di Jalan Perhentian, Kampung Kovil Sentul pada jam 11 malam.

Katanya, panggilan orang awam mengenai jeritan dan bunyi bising wanita disyaki kerana pergaduhan berjaya membawa polis kepada penemuan mayat tiga mangsa yang ditemui dalam keadaan ditindih.

Salah seorang mangsa dalam keadaan bogel merupakan anak lelaki kepada pasangan suami isteri yang juga warga Sri Lanka.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga mayat lelaki diikat, kepala ditutup ditemui dalam setor rumah kedai

Ditanya sama ada kes pembunuhan tiga mangsa itu mempunyai sebarang kaitan dengan konflik di negara asal mereka, Allaudeen bagaimanapun menolak kemungkinan tersebut.

“Kita belum dapat tahu motifnya (pembunuhan) selagi tak tangkap dua suspek utama. Kita yakin mereka masih berada di kawasan sekitar (tidak mungkin lari keluar negara),” tambahnya.- MalaysiaGazette