Bunyi bising pergaduhan suami isteri warga Sri Lanka dengan dua suspek lelaki senegaranya akhirnya membawa kepada penemuan tiga mayat lelaki di Sentul malam tadi.

KUALA LUMPUR – Bunyi bising pergaduhan suami isteri warga Sri Lanka dengan dua suspek lelaki senegaranya akhirnya membawa kepada penemuan tiga mayat lelaki di sini malam tadi.

Lebih menyayat hati, dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Perhentian Kampung Kovil, Sentul itu, tiga mayat mangsa lelaki terbaring secara bertindan sesama sendiri di dalam bilik setor di rumah kedai berkenaan.

Salah seorang mangsa berkeadaan bogel dan dipercayai anak kepada pasangan tersebut, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Menurutnya, pukul 11 malam semalam, pihaknya telah menerima panggilan orang awam menerusi talian MERS999 mengadu tentang pergaduhan yang berlaku di rumah kedai empat tingkat tersebut.

Bertindak atas panggilan itu, sepasukan anggota polis telah bergegas ke tempat kejadian itu dan mendapatii telah berlaku pergaduhan serta dua suspek telah melarikan diri.

“Di dalam rumah itu polis menemui pasangan suami isteri warga Sri Lanka dan melakukan pemeriksaan lanjut  sebelum menemui tiga mayat lelaki warga Sri Lanka dalam keadaan bertindan satu sama lain di dalam bilik setor di tingkat dua rumah kedai tersebut.

“Polis mendapati salah satu mayat mangsa dalam keadaan bogel manakala dua lagi mayat berpakaian lengkap sebelum pemeriksaan mendapati kedua-dua tangan dan kaki ketiga-tiga mangsa diikat manakala kepala mereka disarung dengan plastik.

“Polis segera memulakan siasatan di tempat kejadian dan pasukan forensik turut digerakkan sebelum memulakan siasatan lanjut yang kemudian menyaksikan pasangan suami isteri warga Sri Lanka itu telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media khas kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Tambah Allaudeen, hasil siasatan awal polis telah mengenal pasti dua suspek lelaki warga Sri Lanka yang terlibat dalam jenayah tersebut dan siasatan masih diteruskan.

Ditanya mengenai motif pembunuhan, beliau berkata, polis belum dapat memastikannya lagi.

Manakala, kali terakhir pasangan itu menemui anaknya semalam dan mereka hanya menyedari kematian anak lelaki selepas penemuan tiga mayat dalam bilik setor di premis sewa mereka.

Malah jelas Allaudeen, pasukan forensik juga berjaya menemui dan merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan untuk melakukan pembunuhan tersebut.

Ketiga-tiga mayat itu telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur tindakan lanjut dan mayat pertama dibedah siasat pagi tadi manakala dua lagi akan dibedah siasat petang ini untuk menentukan punca sebenar kematian.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Siasatan awal polis mendapati kesemua individu iaitu pasangan suami isteri, tiga mangsa bunuh dan dua lagi suspek yang bebas di luar itu adalah warganegara Sri Lanka berusia lingkungan antara 20-an hingga 40-an.

Beliau memohon kerjasama sama media dan orang ramai untuk membantu polis memburu dan menjejaki dua suspek lelaki untuk membantu siasatan.

Siasatan lanjut polis mendapati dua pasangan itu menyewa bilik di tingkat dua rumah kedai itu manakala anak lelakinya duduk di bilik asing sementara dua lagi mangsa juga menyewa di satu lagi bilik lain di tingkat yang sama.

“Pemeriksaan awal polis pada ketiga-tiga mangsa meninggal dunia itu mendapati salah seorang mangsa mempunyai kesan kelaran pada badannya.

“Polis mendapati pasangan suami isteri itu dan tiga mangsa bunuh mengenali dua suspek lain sejak enam bulan lepas dan kedua-dua suspek itu merupakan dalang utama kes datang dari Klang untuk melawat pasangan itu dan juga anak lelakinya dua hari lalu dan tinggal bersama sehingga hari kejadian.

“Buat masa ini polis percaya kes pembunuhan ini telah dirancang lebih awal oleh kedua-dua suspek itu berdasarkan keadaan mayat di tempat kejadian itu.

“Pasangan suami isteri berusia 40-an itu menerusi siasatan polis mendapati suaminya telah berhenti kerja sebagai mekanik manakala isterinya adalah suri rumah yang kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, siasatan polis juga mendapati pasangan itu serta tiga mangsa bunuh memiliki dokumen perjalanan yang sah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast