MERSING – Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM654,000 dalam menyediakan kemudahan pengangkutan untuk empat sekolah di Pulau Tioman, Pahang.
Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek, SK Mukut, SK Juara dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek menerima bot laju, bot optimist dan motosikal roda tiga.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan menjelaskan, kenderaan itu secara tidak langsung dapat mempermudah akses bagi guru, staf dan murid-murid yang mungkin menghadapi kesulitan dalam pengangkutan, menjadikannya lebih inklusif dan mesra bagi semua peringkat.
“Selain itu, kita tidak perlu lagi menyewa motosikal roda tiga daripada orang awam untuk urusan logistik seperti membawa peralatan, bahan mentah, dan keperluan lain dari jeti terminal di setiap kampung ke sekolah sekolah pulau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kemudahan berkenaan di Aur Pesaka Jaya, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, inisiatif itu akan memanfaatkan 463 murid dan 72 guru di empat sekolah berkenaan.
KPM katanya, amat prihatin mengenai keperluan pendidikan inklusif mengikut lokaliti dalam memastikan sistem penyampaian pendidikan berkualiti, selaras dengan Tujuh Teras Utama kementerian itu, Prakarsa Pendidikan Madani: Pendidikan Manusiawi.
“Hal ini dibuktikan dengan merealisasikan kemudahan pengangkutan dan keperluan pembangunan karakter murid di sekolah pesisir pantai khasnya di sekolah-sekolah pulau.
“Selain itu, inisiatif ini merupakan hasil daripada program Tindak Susul Parlimen Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) pada 5 hingga 6 Ogos lepas,” katanya.
Azman turut memaklumkan mengenai kejayaan murid-murid pulau itu pada peringkat Majlis Sukan Sekolah Pahang selain terdapat beberapa orang daripadanya yang mewakili negeri itu dalam sukan pelayaran di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
“Di atas keupayaan murid ini, KPM meluluskan permohonan membeli bot optimist bagi latihan atlet kita di Pulau Tioman, malahan Menteri Pendidikan ketika lawatan beliau tempoh hari menetapkan SK Juara menjadi salah satu hab sukan pelayaran di Pahang, ” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Mukut Sakry Muhammad menyambut baik kemudahan itu yang disifatkan dapat menjimatkan masa dengan pergerakan pantas dan efisien di antara pulau bagi aktiviti pendidikan.
“Terima kasih KPM atas penyerahan sumbangan ini yang pastinya memberikan banyak manfaat memandangkan sebelum ini kita hanya pinjam bot dari Majlis Sukan Sekolah Pahang, oleh itu dengan adanya bot optimist ini murid-murid dapat berlatih (sukan pelayaran) dengan jayanya, ” katanya.- MalaysiaGazette
















