KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 dimulakan dengan acara menaikkan bendera UMNO di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pagi ini.
Upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa itu yang menjadi simbolik perasmian perhimpunan disempurnakan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ oleh perwakilan yang hadir menyaksikan acara itu.
Hadir sama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ahli Majlis Kerja Tertingi parti itu.
Sementara itu, seramai 6,403 perwakilan UMNO termasuk daripada Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO menghadiri PAU 2026 sejak Rabu lalu hingga esok.
Selain perwakilan, kira-kira 450 petugas media termasuk media antarabangsa turut mendaftar untuk membuat liputan sepanjang persidangan berkenaan.
PAU 2026 dimulakan dengan Pra-PAU yang diisi dengan pelbagai program, termasuk Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia 2.0 dan Kongres Pendidikan Melayu 2.0 anjuran Biro Pendidikan UMNO Malaysia.
Turut berlangsung Majlis Penerangan UMNO 2026 sebelum disusuli Taklimat Presiden UMNO secara tertutup selain antara program yang dianjurkan ialah Program Komuniti Pemeriksaan Kanser Percuma sumbangan Kebajikan Wanita UMNO Malaysia.
Perhimpunan tahunan itu juga dimeriahkan Karnival Jualan dan Gerai Korporat yang menghimpunkan lebih 111 reruai usahawan di Ruang Legar Aras 2 dan Legar Putra, WTCKL. – MalaysiaGazette
















