Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa menunjukkan antara hasil rampasan dadah pada sidang media di Dewan Alamanda, IPD Kuala Selangor, hari ini.

KUALA SELANGOR – Polis merampas lebih 60 kilogram dadah termasuk syabu dan ecstasy bernilai RM1.9 juta dalam satu serbuan di jeti nelayan di Sungai Buloh, Jeram, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, dadah tersebut berjaya dirampas sebelum diseludup keluar negara untuk pengedaran ke pasaran Indonesia.

“Dalam operasi jam 2.30 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bertindak melakukan serbuan di lokasi kejadian hasil maklumat orang awam.

“Hasil soal siasat terhadap suspek berusia 21 tahun menemui tiga beg plastik hitam yang di dalamnya mengandungi 56 bungkusan teh Cina berisi dadah jenis syabu seberat 58.9 kilogram.

“Turut ditemui satu beg plastik berisi 3,500 biji pil ecstasy seberat 1.4 kilogram. Kesemua dadah ini disembunyikan dalam semak berhampiran suspek ditahan,” katanya pada sidang media di Dewan Alamanda, IPD Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Ramli berkata, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM 1.9 juta, sekali gus menjadikan ia rampasan dadah terbesar pada tahun ini.

Ketika ditanya pemberita mengenai modus operandi suspek terlibat, beliau berkata seorang lelaki warga Indonesia menggunakan kawasan semak di jeti nelayan berkenaan untuk mengaburi aktiviti penyeludupan itu.

“Suspek yang ditahan ini dibayar RM5,000 sebagai upah untuk melakukan aktiviti pengedaran dadah.

“Polis percaya semua dadah ini belum sempat dipindahkan ke dalam sebuah bot semasa serbuan dilakukan.

“Dahulunya, kawasan itu merupakan sarang penagih dan ini kali pertama untuk aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Tambahanya, semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau namun hasil ujian air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Lelaki ini dipercayai masuk ke Malaysia pada 13 September lalu dengan menggunakan pas pelancong.

“Dia kemudian ditawarkan kerja sebagai pembantu kepada seorang lagi lelaki warga Indonesia yang mana polis sedang mengesannya,” katanya.

Katanya lagi, suspek kini direman selama enam hari bermula Jumaat lalu hingga 27 September ini bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya lagi. – MalaysiaGazette