Foto: JBPM Perak

IPOH – Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang di Pantai Teluk Senangin, Lumut sejak semalam ditemukan lemas hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mayat Muhammad Fahmi Hafizi Mohd Fadzli, 19, dijumpai pada 5.29 petang kira-kira 50 meter dari lokasi dia disyaki tenggelam.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Fahmi Hafizi berdepan cabaran susulan ombak besar dan hujan berterusan di lokasi kejadian, malah operasi pencarian dipecahkan kepada beberapa sektor yang merangkumi kawasan seluas 4.16 batu nautika atau 7.4 kilometer.

“Bot bomba digunakan di lokasi mangsa tenggelam dengan membuat beberapa pusingan sebagai usaha menimbulkan mangsa. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM juga membuat selaman di lokasi mangsa dipercayai tenggelam.

“Mayat mangsa kemudian timbul 10 meter dari lokasi selaman pasukan PPDA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata operasi SAR yang melibatkan 49 anggota daripada pelbagai agensi termasuk komuniti nelayan itu ditamatkan pada 6 petang.

Semalam, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.58 pagi berhubung kehilangan Muhammad Fahmi Hafizi di pantai tersebut.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast