Ayob Khan Mydin Pitchay . Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes-kes salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan ketegasan dan keberanian dalam penyeliaan melalui kaedah pemantauan ketat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua pegawai dan anggota yang memegang jawatan sebagai penyelia bermula daripada pucuk pimpinan sehingga ke bawah akan dipertanggungjawabkan sekiranya gagal mengambil tindakan ke atas pegawai dan anggota di bawah seliaannya yang terlibat dalam salah laku.

Katanya, tidak ada lagi alasan untuk tidak mahu mengambil sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dalam salah laku kerana mereka mahu popular atau menjadikan aspek esprit de corps sebagai keengganan mengambil tindakan tegas.

“Bukan sekadar tindakan malahan teguran juga tidak diambil kerana tidak ada keberanian dan ketegasan.

“Semua pengarah, komisioner polis, ketua polis negeri, komander, komandan, pegawai-pegawai pemerintah, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua polis daerah wajib mengambil tindakan tegas dalam menguatkuasa Peraturan 3C iaitu Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 ini tanpa gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Perhimpunan Bulanan yang diadakan di Bukit Aman pagi tadi.

Mengulas lanjut, Ayob Khan menegaskan, sebarang kegagalan pihak atasan  akan diambil tindakan.

“Semua kontinjen, briged dan formasi dalam PDRM jangan hanya bergantung kepada pemeriksaan daripada JIPS dan naziran dari Bukit Aman untuk turun dan membuat pemeriksaan di lapangan.

“Semua pihak harus konsisten, berani dan tegas dalam menguatkuasakan Peraturan 3C ini seperti mana ditegaskan oleh Ketua Polis Negara sebelum ini bagi memastikan kita dapat membawa perubahan yang berkesan ke atas isu integriti dan salah laku dalam PDRM,” tegasnya.

Dalam satu lagi perkembangan lain, Ayob Khan menjelaskan, dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menguatkuasa undang-undang, PDRM mungkin akan dikritik dan ditohmah atas dakwaan tidak menjalankan tugas secara profesional atau siasatan serta tangkapan terpilih.

Kata beliau, sudah menjadi satu budaya di Malaysia apabila PDRM dan lain-lain agensi penguatkuasaan menjalankan siasatan dan tangkapan ke atas sesuatu pihak, mereka akan dituduh dan ditohmah.

“Tindakan diambil ke atas pihak A, mereka akan mengkritik kita. Pihak B pula akan memuji kita. Sebaliknya, sekiranya tindakan diambil ke atas pihak B, pihak A akan memuji kita.

“Sebagai agensi penguat kuasa yang terulung, kita tidak perlu takut, bimbang, gusar atau gabra. Selagi kita mengikut undang-undang, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan ikhlas dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab kita without fear or favour, kita tidak perlu bimbang.

“Kita bukan nak jadi popular, bukan nak jadi artis atau takut kehilangan followers FB, IG, TikTok. Sebaliknya terus tegas, ikhlas dan profesional dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita,”  kata Ayob Khan. – MalaysiaGazette