KUALA LUMPUR – Walaupun pelbagai dasar dan program diperkenalkan serta diusaha, namun masih ramai masyarakat belum peka dan cakna dengan penjagaan sumber air terutama sungai.
Justeru, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kerajaan perlu mencari kerangka baharu yang lebih segar, teratur dan berdaya maju untuk menangani kelemahan pengurusan lembangan sungai.
Titah baginda, selain meneladani beberapa negara yang memperlihatkan kejayaan melestarikan sungai secara tuntas, kerajaan juga perlu segera merangka dasar dan pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan mengambil kira segala kelemahan dan kekangan.
“Persoalan melestarikan sungai bersifat budaya dan geopolitik dan tidak mungkin berjaya ditangani dengan kerangka lama yang tegar dan bersegmen.
“Pelestarian sungai bermaksud kerangka membaikpulih dan menambahbaik kualiti air sungai supaya sentiasa bersih dan boleh digunakan.
“Pelestarian sungai juga merupakan tanggungjawab semua pihak, khusus kepada sesebuah agensi atau NGO dan ia perlu diserlahkan dalam bentuk amalan hidup yang mesra alam dan sikap proaktif untuk memberi sumbangan atau bersedia membayar kos yang diperlukan,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Buku Tafsir Maudhu’iy Sungai-Perspektif Islam Tentang Alam Sekitar di Auditorium Institut Asia-Eropah (AEI) di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia (KSM), Mustapha@Mohd Yunus Sakmud; penulis bersama buku, Ketua Setiausaha KSM, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang; dan Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd Yusoff.
Titah baginda lagi, masyarakat perlu diinsafkan bahawa mereka dan alam sekitar saling berkait rapat umpama bahasa melambangkan bangsa serta tahap kesihatan ekosistem sungai menggambarkan hati masyarakat setempat.
“Aliran sungai yang indah amat berkait rapat dengan aliran yang indah dalam hati manusia. Pendekatan Sains dan Teknologi serta dasar, undang-undang dan normal tidak akan lengkap tanpa hati, roh atau manusiawi.
“Roh manusia perlu dibisikkan dengan kesedaran, menginsafkan hati agar terasa berdosa apabila melakukan perbuatan yang mencemarkan alam.
“Manakala pendekatan lebih bersikap manusiawi perlu ditingkatkan dalam hasrat dan usaha mahu meningkatkan kesedaran dan kesediaan masyarakat untuk melestarikan alam sekitar,” titahnya.
Baginda bertitah, istilah sungai diungkapkan 56 kali dalam al Quran tidak termasuk 94 ayat berkaitan air yang melambangkan hikmah dan kepentingan sungai kepada umat manusia.
“Allah SWT berulang kali mengisahkan suasana syurga dengan segala nikmat-Nya. Sungai dijanjikan sebagai satu keistimewaan dan nikmat di dalam syurga sangat menakjubkan kerana dibayangkan banyaknya sungai yang mengalir di kamar-kamar penghuninya.
“Melalui ayat 15 Surah Muhammad, digambarkan terdapat empat jenis sungai di syurga iaitu sungai dari air murni, sungai dari susu, sungai dari kamar dan sungai dari madu.
“Sungai juga berperanan penting dalam kehidupan dunia iaitu hampir setiap kota besar negara, malah peradaban bermula di pinggir atau muara sungai, sekali gus sungai mempunyai konotasi perundangan, sempadan dan kedaulatan sesebuah negeri atau negara” titahnya.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut bertitah bahawa sungai berkait rapat dengan pentadbiran tanah dan pembangunan guna tanah, pengangkutan dan pelancongan dan paling ketara merupakan sumber air utama yang menjadi nadi kehidupan manusia.
Titahnya, isi padu air sungai di seluruh dunia tidak sampai satu peratus keseluruhan muka bumi, yang mana 97.52 peratus ialah air masin di lautan, selebihnya air tawar dalam bentuk ketulan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan, liputan salji di pergunungan dan air tawar yang mengalir di huluan ke hiliran sungai yang ada kalanya bertakung dalam empangan atau tasik.
“Berbeza dengan air di lautan, sungai menyediakan air tawar yang boleh dijadikan air minuman, di samping boleh memenuhi keperluan pertanian, perladangan dan pelbagai aktiviti pembangunan.
“Saban hari sungai yang menjadi sumber membekalkan air semakin dicemari. Pencemaran dan kegiatan pencemaran yang dilakukan terhadap air sungai menyebabkan bekalannya semakin terhad berbanding permintaan yang semakin meningkat untuk memenuhi keperluan hidup alam.
“Didapati air di kebanyakan sungai utama tidak lagi jernih disebabkan bahan pepejal terampai yang masuk ke sungai menerusi pelbagai aktiviti guna tanah terutama penerokaan hutan, perlombongan pasir, pembukaan kawasan pertanian dan perladangan serta penempatan baharu,” titah baginda.
Baginda turut dukacita dengan keadaan hari ini, yang mana kebanyakan air sungai menjadi semakin keruh dan ada ketika berbau serta bertukar warna, manakala sampah sarap dan pelbagai buangan lain bertompokan dari hulu hingga ke hilir baik di permukaan begitu juga di dasar sungai.
Titah baginda, laporan Kualiti Alam Sekeliling 2021 terhadap 670 sungai yang dipantau di negara ini merekodkan 73 peratus sungai menunjukkan indeks kualiti air bertaraf bersih, 24 peratus bertaraf sederhana cemar, manakala tiga peratus bertaraf tercemar.
Begitu juga pemantauan kualiti air di 1,351 stesen pengawasan pada 2021 menunjukkan 75 peratus sungai bertaraf bersih, 22 peratus bertaraf sedeherhana tercemar dan tiga peratus bertaraf tercemar. – MalaysiaGazette
Betul kata Tuanku, sayangi lah sungai2 kita.
Di Pasir Gudang ada sungai2 umpama sudah mati yang tidak boleh lagi menjadi habitat kepada haiwan2 akuatik dipercayai dicemari sisa2 toksik kimia dari industri kilang2 dan petrochemical plant dsb.
Di Pulau Pinang ada sungai yang airnya hitam pekat disyaki dicemari oleh najis berat taik babi?
Diharap MP2 kawasan terbabit dapat memantau dan memberikan solution terhadap masalah2 alam ini.