Kredit foto: Majlis Bandaraya Ipoh

IPOH – Sikap terlalu prihatin terhadap alam sekitar menyebabkan seorang warga emas mengabaikan keselesaan jirannya, apabila rumahnya menjadi ‘gudang’ pengumpulan sampah untuk dikitar semula sehingga gagal diurus dengan baik sejak tiga tahun lepas.

Sikap wanita berusia 60-an itu menyebabkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terpaksa menghantar tiga lori berkapasiti lapan tan ke rumahnya di Jalan Merpati, Taman Ipoh, pagi tadi untuk mengutip dan membuang ‘timbunan’ sampah yang dianggarkan seberat tiga tan.

MBI dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan hari ini merupakan kali ketiga pihak berkuasa tempatan itu menjalankan operasi pembersihan di lokasi sama selepas wanita berkenaan gagal menghentikan perbuatannya meskipun telah berkali-kali diberi nasihat.

Menurut MBI, wanita itu dan suaminya pernah dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalani kaunseling, namun ‘kegiatan’ warga emas itu tetap berulang.

“MBI menerima aduan kacau ganggu di premis ini sejak 2020, aktiviti menyimpan sampah di kediamannya adalah bagi mengitar semula sehingga menyebabkan kacau ganggu.

“Tindakan mengumpul barang kitar semula dan disimpan di rumah kediaman dalam keadaan tidak terurus itu boleh menyebabkan kacau ganggu bau, menjadi tempat hurungan tikus dan haiwan berbisa serta tempat pembiakan nyamuk,” menurut kenyataan itu.

MBI turut memaklumkan aktiviti berkenaan mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar disamping mencacatkan nilai estetik kawasan tersebut.

“Semakan mendapati sebanyak tujuh aduan diterima MBI sejak 2020 dan pemilik rumah (wanita) telah didenda RM500 di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada 2021. Kes ini telah dirujuk untuk tindakan mahkamah kerana kesalahan berulang,” menurut MBI.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast