KUALA LUMPUR – Dua daripada empat kakitangan perubatan awam yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam direman selama enam hari kerana menerima rasuah berjumlah RM11,000 sebagai balasan menawarkan kerja-kerja pengurusan mayat bukan Islam  di Negeri Sembilan.

Menurut SPRM, semua suspek yang bertugas di hospital yang sama dipercayai menerima wang rasuah melalui 42 transaksi bank daripada dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan mayat antara 2022 hingga 2023.

Agensi tersebut berkata, suspek pertama berusia 39 tahun dan manakala seorang lagi 35 tahun.

Kedua-dua individu direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 1 Oktober.

Menurut SPRM, perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Syed Farid bin Syed Ali selepas suruhanjaya itu membuat permohonan di  Mahkamah Jenayah 2, Seremban pada pagi tadi.

Sementara itu, dua lagi suspek dilepaskan dengan jaminan RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin atas faktor kesihatan.

Semalam, SPRM dilaporkan menahan tiga suspek lelaki dan seorang suspek wanita berusia antara 30-an hingga 50-an kira-kira jam 4 petang hingga 7 malam di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

Kesemua ditahan selepas hadir memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette