Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (dua, kiri) melihat pesawat dron DHL yang dipamerkan pada sesi lawatan kerja di Ibu Pejabat DHL Express, Menara TM hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo (kiri) .

KUALA LUMPUR – Melihat kepada perkembangan penggunaan dron ketika ini, kerajaan akan mengkaji dasar berkaitan penggunaan dron dalam industri perkhidmatan penghantaran barangan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata walaupun aspek penerbangan berada itu di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, namun penggunaan frekuensi atau spektrum itu adalah di bawah kawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Justeru, saya lihat ada keperluan untuk MCMC mengadakan perbincangan dan mungkin meneliti beberapa perkara supaya dasar adalah selaras dengan apa yang kita lihat sebagai potensi industri dron, terutamanya untuk penghantaran barangan,” katanya selepas melawat Ibu Pejabat DHL Express Malaysia di Menara TM hari ini.

Sementara itu, katanya KKD dan MCMC juga akan meneliti beberapa perkara berkaitan hala tuju industri kurier.

“Secara umumnya pasca pandemik, banyak syarikat penghantaran barang menghadapi sedikit cabaran, jadi di pihak KKD dan MCMC, kita sedang meneliti beberapa perkara yang saya harap tidak lama lagi kita dapat buat sedikit pengumuman berkaitan indikasi tentang hala tuju industri kurier yang dikawal selia oleh MCMC,” katanya.

Terdahulu Fahmi dalam ucapannya berkata kerajaan menerusi MCMC telah melaksanakan Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) pada tahun 2021 bagi menyokong pertumbuhan industri pos dan kurier, te arah mencapai 30 parcel per kapita menjelang 2025.

“Inisiatif PAKEJ disasar membekalkan Malaysia dengan perkhidmatan kurier terbaik menerusi dengan asas 4R, yakni Boleh Dipercayai (Reliability) dari segi kualiti perkhidmatan; Liputan (Reach) yang lancar, Relevan menerusi pertumbuhan industri, dan Daya Tahan (Resilience) kemampanan.

“Adalah diharapkan inisiatif ini akan melonjakkan lagi pertumbuhan industri kurier, mengukuhkan ia sebagai enjin utama dalam memastikan kejayaan e-commerce dan ekonomi digital di Malaysia,” katanya.- BERNAMA