JOHOR BAHRU – Lapan negara bakal berentap dalam kejohanan hoki antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 edisi ke-11, yang akan membuka tirainya di Stadium Hoki Taman Daya, yang akan bermula 27 Oktober hingga 4 November ini.
Kejohanan bawah 21 tahun itu bakal disertai pasukan gergasi Great Britain, India, German, Australia, Afrika Selatan, New Zealand, Pakistan dan Malaysia selaku tuan rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, skuad negara disasarkan untuk menamatkan cabaran pada kedudukan ketiga teratas.
“Persiapan pemain sedang berjalan dengan lancar dan sasaran sekurang-kurangnya kedudukan ketiga teratas. Kita harap pemain dapat lakukan yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Penyampaian Cek Penajaan Kejohanan SOJC 2023, di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Majid Manjit Abdullah.
Anil berkata, kejohanan itu juga akan menjadi medan bagi Malaysia dan negara-negara berkenaan, kecuali Great Britain, untuk persediaan menghadapi Kejohanan Piala Dunia Hoki Junior.
Kejohanan SOJC tahun ini mendapat tajaan sebanyak RM2.7 juta daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, pertambahan penyertaan berbanding enam negara sebelum ini, jelas menunjukkan bahawa kejohanan itu menjadi tumpuan pemain hoki dunia. – MalaysiaGazette