UCAPAN Malaysia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) khususnya yang menyentuh tentang penjajahan Israel di Palestin sering ditunggu-tunggu oleh masyarakat antarabangsa. Ini kerana Malaysia terkenal sebagai antara negara yang kuat dan lantang mempertahankan hak kemerdekaan Palestin.
Ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dalam perhimpunan PBB yang ke-78 baru-baru ini menyaksikan Malaysia sekali lagi mengangkat isu penjajahan di Palestin selain isu peperangan Rusia-Ukraine, keganasan junta Myanmar dan krisis kemanusiaan di Afghanistan.
“Di Timur Tengah, politik perampasan berterusan dengan penuh dendam dengan lebih banyak penempatan haram dibina, melucutkan rakyat Palestin daripada tanah yang merupakan hak milik mereka. Ini merupakan pelanggaran serius ke atas undang-undang antarabangsa. Ia juga menimbulkan halangan yang tidak dapat diatasi kepada penyelesaian dua negara, selain pembunuhan yang terus menerus berlaku.”
Meminjam judul buku cendekiawan Palestin yang beliau kagumi, Edward Said, YAB Perdana Menteri menyelar ‘politik perampasan’ (politics of dispossession) yang diamalkan oleh rejim Israel yang telah menyebabkan semakin banyak tanah rakyat Palestin hilang dari tangan mereka. Rampasan tanah ini antara lain bertujuan untuk membina penempatan baru untuk pendatang Yahudi.
Rampasan tanah ini jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa termasuklah Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB yang diluluskan pada Disember 2016. Inilah resolusi yang pernah membangkitkan kemarahan Netanyahu kepada Obama ekoran langkah Amerika Syarikat untuk berkecuali dan tidak menggunakan kuasa vetonya untuk menolak resolusi tersebut.
Resolusi yang diusulkan secara bersama oleh Malaysia, New Zealand, Senegal dan Venezuela ini menegaskan “pembinaan dan perluasan penempatan, pemindahan pendatang Israel, rampasan tanah, merobohkan rumah dan mengusir penduduk Palestin bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan resolusi seumpamanya.”
Selain itu, YAB Perdana Menteri turut menyifatkan penempatan haram sebagai halangan yang ‘tidak dapat diatasi’ (insurmountable) kepada penyelesaian dua negara (two-state solution).
Penempatan haram diakui telah menjadi punca kepada kegagalan proses damai Israel-Palestin sejak lebih 30 yang lalu. Akibatnya, sebahagian penganalisis telah menutup sepenuhnya prospek penyelesaian dua negara ekoran penempatan haram yang begitu berleluasa.
Justeru, menjadi tanda tanya mengapa masih banyak negara, termasuk Malaysia, masih mengulang retorik penyelesaian dua negara dan tidak bergerak kepada penyelesaian yang lebih realistik.
Kenyataan Malaysia pada tahun ini walau bagaimanapun dilihat mengelak daripada merujuk Israel sebagai sebuah rejim ‘apartheid’ ketika mengulas kezaliman yang ia kenakan ke atas rakyat Palestin walhal istilah ini telah pun digunakan oleh Malaysia dalam ucapan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri ketika ucapan beliau pada tahun 2022.
Langkah ini sedikit mengecewakan kerana apartheid adalah istilah terbaik untuk menggambarkan “keganasan berstruktur” yang Israel kenakan ke atas rakyat Palestin pada hari ini. Apalagi lagi jenayah apartheid mempunyai hukuman yang jelas di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, YAB Perdana Menteri turut menyelar sikap talam dua muka sebahagian besar masyarakat antarabangsa yang lantang bersuara tentang pencabulan hak asasi manusia, ketidakadilan dan kezaliman rejim tertentu tetapi membisu dalam isu kezaliman di Palestin. Beliau menggesa supaya kelantangan yang sama disuarakan untuk membela rakyat Palestin.
Akhir sekali, satu hal yang menarik dalam ucapan Malaysia pada tahun ini ialah ketiadaan walau satu pun perkataan ‘Israel’. Sudah menjadi pendirian rasmi Malaysia untuk tidak mengiktiraf Israel. Ternyata pendirian ini ditegaskan sekali lagi secara tidak langsung dalam ucapan yang mengecam kezaliman rejim itu tanpa menyebutnya secara literal.
Harapan penulis, ini juga adalah petanda Malaysia menolak agenda normalisasi yang sedang diusahakan oleh Israel. Netanyahu dalam ucapan beliau menggesa penyertaan Arab Saudi ke dalam Perjanjian Abraham sepertimana UAE, Bahrain, Sudan dan Maghribi untuk membina ‘Timur Tengah yang baharu’.
Normalisasi sebelum pembebasan Palestin adalah pengkhianatan kepada perjuangan dan pengorbanan rakyat Palestin selama ini. Israel perlu menghentikan kezaliman, memulangkan apa yang telah mereka rampas dan membayar pampasan yang sewajarnya kepada rakyat Palestin sebelum mereka boleh diterima dan diiktiraf sebagai sebuah entiti yang normal. Ini pendirian yang wajar dipertahankan.
Khalid Jimat,
Ketua Pegawai Penyelidik,
Palestine Centre of Excellence (PACE)