MACC logo Seri Iskandar airport land sales Perak
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu tadbir sebuah jabatan kerajaan ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu melibatkan pelbagai projek pembekalan dan perkhidmatan berjumlah kira-kira RM160,000.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek disyaki membuat tuntutan palsu lapan program yang tidak dilaksanakan pada tahun 2018 sehingga 2020.

“Suspek disyaki terlibat dalam tuntutan palsu pada tahun 2018 – 2020 dengan mengemukakan 11 invois atas nama dua syarikat berbeza yang mana terdapat pelbagai pembekalan dan perkhidmatan yang tidak dilaksanakan melibatkan penganjuran sebanyak lapan program,” katanya.

Menurut beliau, suspek wanita berumur dalam lingkungan 40-an ditahan selepas memberi keterangan di ibu pejabat agensi berkenaan di Kedah pada 12 tengah hari semalam.

Bagaimanapun suspek kemudian dilepaskan pada hari yang sama dengan jaminan sebanyak RM10,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Rosley Mohamad Satar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Ujar beliau kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette