Atelt Wushu negara, Tan Cheong Min ketika beraksi pada acara akhir Nanquan dan Nandao Wanita di pusat sukan Xiaoshan Guali hari ini. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

HANGZHOU – Ratu wusyu negara Tan Cheong Min pernah berada pada tahap terbawah dalam kariernya sekitar tahun 2018 sehingga mengambil masa sebulan untuk memulihkan semangatnya.

Juara dunia 2019 dalam acara nandao itu berkata ia kerana kekecewaan berganda dialaminya selepas kempunan pingat di temasya Sukan Asia 2018 dan tewas di tangan atlet junior pada Sukan Malaysia (SUKMA) sebulan kemudian disebabkan pemotongan markah.

“Markah saya dipotong di Jakarta (Sukan Asia 2018) kemudian dua minggu selepas itu saya beraksi di SUKMA dan tewas kepada junior disebabkan pemotongan markah.

“Ia waktu paling teruk bagi saya kerana rasa tekanan sebagai seorang atlet senior tetapi markah selalu dipotong. Saya ambil masa sebulan untuk pulih daripada itu,” katanya ketika ditemui selepas final acara nanquan dan nandao wanita Sukan Asia Hangzhou 2022 di sini, hari ini.

Pada saingan yang berlangsung di Pusat Sukan Xiaoshan Guali itu, Cheong Min meraih pingat perak yang juga pingat sulungnya di temasya berkenaan pada penampilan keduanya selepas menduduki tempat keempat di Jakarta lima tahun lepas.

Atlet berusia 25 tahun itu yang memenangi dua emas di Sukan SEA Kemboja 2023 Mei lepas menyifatkan segala pengorbanan dilakukan dalam tempoh lima tahun untuk memenangi pingat di Sukan Asia sesuatu yang berbaloi.

“Saya lalui banyak perkara selama lima tahun ini, saya menangis kekecewaan, kecederaan, ambil suntikan PRP (platelet-rich plasma), jadi sangat berbaloi,” katanya.

Terdahulu, Cheong Min meraih keseluruhan 19.419 mata untuk mengesahkan kilauan perak dengan emas menjadi milik jagoan China Chen Huiying (19.590 mata) manakala wakil Uzbekistan Darya Latisheva membawa pulang gangsa selepas mengumpul 19.403 mata.

Kejayaan dilakar Cheong Min menyaksikan kem wusyu negara akhirnya berjaya menamatkan kemarau 13 tahun tanpa pingat di Sukan Asia selepas kali terakhir disumbangkan Chai Fong Ying yang meraih emas acara taijiquan dan taijijian wanita pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Dalam pada itu, Cheong Min akan mengalihkan tumpuannya kepada persediaan menghadapi Sukan Tempur Dunia di Riyadh, Arab Saudi pada Oktober ini dan Kejohanan Dunia di Texas, Amerika Syarikat sebulan kemudian.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast