Mohd Na'im Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bercakap kepada media selepas Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiyaan Hafiz (SPH) JAKIM di Auditorium JAKIM Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 26 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan meneruskan siasatan berhubung laporan terhadap dua individu berkaitan dakwaan melakukan kesalahan di bawah jenayah qazaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, setakat ini, beliau dimaklumkan bahawa beberapa laporan diterima Bahagian Penguatkuasaan JAWI terhadap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan pendakwah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani.

Menurut beliau, siasatan dilakukan mengikut peruntukan di bawah Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

“Saksi-saksi akan dipanggil oleh pihak penguatkuasa JAWI, di situ boleh ditentukan sama ada boleh diteruskan pendakwaan atau tidak itu akan ditentukan berdasarkan laporan siasatan yang diterima nanti.

“Persoalan mengenai kenyataan itu dibuat di Parlimen itu perkara lain, itu akan diputuskan oleh pendakwaan nanti,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama pelajar baharu tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hari ini.

Beliau mengesahkan, dua laporan telah diterima JAWI daripada Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini terhadap Ahmad Dusuki.

Laporan tersebut adalah berkaitan hantaran Ahmad Dusuki dalam media sosial yang dikatakan mengandungi perkataan jelik dan tuduhan rasuah terhadap pemimpin kanan kerajaan.

Pada 22 September lalu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan ABIM membuat laporan menggesa JAWI menyiasat Radzi yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan seorang lagi individu yang didakwa menyebut perkataan jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang termasuk dalam kesalahan jenayah qazaf.

Mereka mengemukakan dua laporan kepada JAWI berkaitan beberapa kes tuduhan qazaf yang telah berlaku sama ada di media sosial atau secara terbuka di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

Seksyen itu menyatakan qazaf bermaksud membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette