KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, al-Quran tidak boleh diterjemahkan dan ditafsirkan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang berkait dengannya.
Menurut beliau, mereka yang jahil dan kafir tanpa ilmu alatnya tidak mampu memahami tafsiran al-Quran dengan betul.
“Di sana, terdapat para orientalis yang mengkaji al-Quran mengikut disiplin ilmunya dan ramai yang memeluk Islam.
“Di sana juga, ada yang mencuba untuk menjadikan tujuannya bagi menentang Islam dengan menimbulkan kekeliruan kerana salah fahamnya dan ada yang sengaja mencetuskan keraguan, namun semuanya dapat dikalahkan dengan hujah yang benar oleh para ulama yang berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketika ini, polis sedang menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang dikatakan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran susulan video tular baru-baru ini.
Siasatan dijalankan setelah Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap Howard pada 21 September lalu bagi meminta siasatan dan tindakan dikenakan terhadap pemimpin DAP itu kerana dianggap menghina Islam.
Abdul Hadi memberitahu, penjajah British yang menjajah India pernah mencipta kumpulan Qadiani yang dinamakan Ahmadiyyah di negara itu untuk menjadi tentera upahannya ke seluruh pelosok dunia Islam bagi memesongkan umat Islam.
Ahli Parlimen Marang itu menambah, mereka mencipta al-Quran versi sendiri dengan mengubah banyak ayat al-Quran atau mentafsirkannya dengan tafsiran yang salah dan tidak sempurna.
“Pasti terdedah pembohongan mereka itu pada akhirnya.
“Antara ayat yang ditafsirkan oleh Qadiani yang sesat ialah ayat 59 surah al-Nisa’, dengan katanya bahawa ulu al-amr (mereka yang berwibawa dalam urusan umat ) ialah penjajah British, raja-raja yang mengikutinya, dan pegawai-pegawainya,” jelasnya.
Beliau berkata, tanpa disedari mereka bahawa al-Quran sendiri mentafsirkan ayat tersebut seperti maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” – MalaysiaGazette