Treler membawa muatan susu formula telah hangus dalam kebakaran selepas api tercetus dari tayar belakang kenderaan berat itu dalam kejadian di Bukit Beruntung petang tadi. - Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Sebuah treler yang membawa muatan susu formula hangus dalam kejadian kebakaran di Kilometer 428, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Beruntung hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan tentang insiden kebakaran lori tersebut pada 2.48 petang tadi.

Bertindak atas panggilan kecemasan itu, dua buah jentera pemadam dengan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dan Rawang telah digerakkan ke lokasi kebakaran itu.

Treler membawa muatan susu formula terbakar di Lebuhraya Utara Selatan-Bukit Beruntung hari ini.- Gambar ihsan Bomba Selangor.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah lori jenis Volvo yang membawa muatan susu formula terbakar 90 peratus namun tidak melibatkan mangsa.

“Siasatan awal mendapati semasa kejadian, treler kontena berkenaan sedang dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Bukit Beruntung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Mukhlis, siasatan lanjut di lokasi mendapati kebakaran dipercayai bermula dari bahagian tayar belakang kenderaan berat itu sebelum merebak ke bahagian lain.

Katanya, pemandu treler berkenaan seorang lelaki warga tempatan berusia 31 terselamat dalam kejadian itu.

“Manakala, kebakaran lori berjaya dikawal sepenuhnya pada  3.30 petang tadi,” katanya.- MalaysiaGazette