Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman . Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menepis khabar angin bahawa bekas bintang Jepun, Keisuke Honda bakal menggantikan E. Elavarasan sebagai ketua jurulatih skuad Bawah-23 (B-23) negara.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, bagaimanapun menjelaskan perbincangan berhubung pengendali baharu skuad Harimau Muda itu sudah dilakukan dan pengumuman rasmi akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Tak ada, mana ada (Keisuke ganti Elavarasan)…(tetapi) ada perbincangan, dalam masa terdekat kita akan umum,” katanya selepas sidang media majlis pelancaran Karnival Uniti Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2023, yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang di sini hari ini.

Semalam, timbul khabar angin apabila media tempatan melaporkan bekas bintang kelab gergasi Itali AC Milan itu bakal menggantikan Elavarasan selepas beliau memuat naik ciapan di akaun rasmi X memaklumkan sedang berada di Kuala Lumpur.

Sebagai rekod, Elavarasan secara rasmi melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan pada 18 September lepas.

Terdahulu, Aaron melancarkan Karnival Uniti Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2023 dengan kerjasama strategik FAM yang berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober ini.

Aaron berkata karnival tersebut yang julung kali diadakan dengan jangkaan lebih 100,000 pengunjung itu adalah sebagai satu daripada platform menyatupadukan masyarakat di tanah air.

“Bola sepak menyatukan kita, program ini mengembalikan semula sejarah merdeka untuk memupuk perpaduan di negara kita.

“Sewaktu karnival ini juga, orang ramai turut berpeluang menyertai aktiviti ‘Stadium Tour’ sambil merakam kenangan bersama Piala Pestabola Merdeka,” katanya. – Bernama