Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia pada lewat malam tadi mengesahkan pihaknya telah selesai merakam percakapan Ahli Parlimen ipoh Timur, Howard Lee Chuan How bagi membantu siasatan berhubung tindakannya yang membuat penafsiran sendiri ayat al-Quran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, keterangan telah diambil daripada pemimpin DAP Perak itu di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Polis sahkan telah selesai merakam percakapan daripada Howard Lee pada 26 September 2023 pukul 3 petang di Ipoh, Perak.

“Rakaman percakapan daripada Ahli Parlimen Ipoh Timor itu diambil berhubung kenyataan yang didakwa telah menghina agama Islam dengan membuat tafsiran terhadap Surah An Nisa’ ayat 59,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Tambah Mohd Shuhaily, kes berkenaan sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.

Menurutnya, penyiasatan ke atas Howard Lee dikendalikan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahannya.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara sampai setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya jika disabitkan kesalahannya, katanya.

Tegas Mohd Shuhaily lagi, kertas siasatan apabila dilengkapkan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tafsir sendiri ayat al-Quran: Howard Lee mohon maaf