BATU PAHAT – Hasrat seorang pekerja kilang mahu menggandakan wang simpanan tidak berjaya apabila rugi RM300,000 diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, kejadian bermula selepas mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun mula menerima mesej mengenai pelaburan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Seorang individu tidak dikenali menghantar mesej berkenaan pelaburan berkenaan yang menawarkan pulangan keuntungan tinggi menerusi WhatsApp.
“Mangsa yang tertarik dengan pelaburan tersebut, telah berhubung dengan suspek bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Setelah berjaya diyakinkan, mangsa telah bersetuju untuk menyertai pelaburan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, antara tempoh 19 Februari hingga 18 Mac 2025, mangsa telah melakukan sebanyak 12 transaksi berjumlah RM330,400 menerusi dua akaun bank berbeza.
Suspek ujarnya, turut menjanjikan pulangan yang lebih lumayan sekiranya mangsa terus membuat pembayaran tambahan.
“Bagaimanapun, selepas gagal mendapat sebarang keuntungan seperti dijanjikan, mangsa menyedari dirinya telah ditipu lalu membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa.
“Terutama melalui saluran komunikasi tidak rasmi seperti media sosial dan aplikasi pesanan ringkas,” katanya.- MalaysiaGazette















