KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengecam tindakan pihak penganjur, pengarah dan pelakon sebuah pementasan teater yang didakwa mempersendakan Rukun Negara.
Setiausaha Agung GPMS, Wafiyuddin Musa berkata, tindakan menyelitkan sindiran selepas setiap baris Rukun Negara dibacakan, selain dialog yang didakwa berunsur provokasi perkauman, merupakan penghinaan terhadap negara.
Menurutnya, Rukun Negara bukan bahan jenaka kerana ia digubal dan diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 susulan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
“Rukun Negara lahir daripada air mata, darah dan usaha keras pemimpin terdahulu untuk mencari formula penyatuan bagi menyelamatkan sebuah negara yang hampir hancur akibat ketegangan kaum.
“Mempersendakan Rukun Negara bermaksud mereka secara langsung mempersendakan keharmonian dan darah yang tumpah demi membina semula Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, GPMS menyatakan sokongan terhadap ketegasan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berhubung isu berkenaan dan menggesa tindakan undang-undang dikenakan terhadap pihak terbabit.
GPMS turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan termasuk pelucutan kewarganegaraan terhadap individu yang terlibat, selain menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak menghormati dan tidak mempunyai rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Pertubuhan itu juga menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terhadap semua pihak yang terlibat dalam penerbitan pementasan tersebut.
“Mereka tidak boleh dibiarkan terlepas sekadar dengan permohonan maaf. Tindakan undang-undang sewajarnya perlu diambil, terutamanya ketika mereka pulang ke Malaysia kelak,” katanya.
Pada masa sama, GPMS mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menyenarai hitam pelakon, pengarah dan syarikat produksi yang terlibat daripada sebarang pementasan, permohonan dana kerajaan atau aktiviti seni tanah air pada masa hadapan.
GPMS menegaskan kebebasan berkarya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menjejaskan perpaduan masyarakat.
“Keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia yang dibina selama berdekad-dekad tidak boleh dan tidak akan dibiarkan hancur oleh kebiadaban segelintir pihak,” katanya.
GPMS turut menyeru rakyat Malaysia supaya mendalami Rukun Negara bagi menyuburkan semangat cinta akan negara serta menjadikannya sebagai asas perpaduan dan kemakmuran negara. – MalaysiaGazette
















