Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 1,813 orang daripada 530 keluarga malam ini, berbanding 1,220 orang daripada 372 keluarga pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mereka daripada daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Baling, dan ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, di Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena, masing-masing terdapat tiga PPS yang dibuka, manakala di Baling, empat PPS.

“PPS di Kubang Pasu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, SK Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu, manakala PPS di Kota Setar pula (SK Taman Aman, SMK Kepala Batas dan SK Seri Gunung);

“Selain itu, PPS di Pokok Sena pula di SK Bukit Hijau, Maahad Tarbiyah Derang dan SK Permatang Limau, manakala PPS di Baling melibatkan SK Iboi dan SMK Jerai, SK Kampung Keda dan Surau Annur,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu di Perlis,jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 48 orang berbanding 42 orang pagi tadi dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangasaan Kubang Gajah, Arau.

Pengarah APM Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, tambahan enam orang itu melibatkan sebuah keluarga dari Kampung Alor Ara.

“Sehingga kini terdapat seramai 48 orang mangsa daripada 17 buah keluarga yang terdiri daripada 31 orang dewasa, 15 kanak-kanak dan dua orang bayi di PPS ini.

“Jika malam ini tidak hujan dan air pasang malam tidak memberi kesan kepada paras air..insya-Allah mangsa mungkin akan dibenarkan pulang esok,” katanya ketika dihubungi Bernama. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast