KENAPA perlu takut jika pelaburannya melibatkan jumlah yang sedikit, tidak menggunakan duit perbelanjaan harian, dan pelaburannya dibuat berpandukan ilmu dan kefahaman tentang yang betul? Sudah lama masyarakat Malaysia dimomokkan bahawa melabur di dalam pasaran saham sangat merbahaya dan perlu dijauhi kerana bakal menyebabkan seseorang itu muflis. Sesungguhnya kefahaman kolot ini sangat merugikan kerana masyarakat gagal memanfaatkan potensi pulangan yang lebih tinggi daripada pasaran saham.
Doktrin sebegini sangat merugikan kerana masyarakat akan menjauhi pasaran saham dan lebih selesa menyimpan duit di bank atau unit amanah dan instrumen simpanan yang lain yang kebiasaannya memberi pulangan di bawah kadar inflasi. Ini akan menyebabkan nilai wang dari semasa ke semasa menjadi kecil kerana inflasi dan mereka akan terlepas peluang menjana pendapatan yang lebih tinggi. Seterusnya, simpanan itu akan digunakan oleh institusi untuk dilaburkan di dalam pasaran saham di dalam dan di luar negara dengan pulangan yang berlipat kali ganda.
Ketakutan yang dibina berdasarkan persepsi lapuk terhadap pasaran saham sangat merugikan masyarakat. Melabur di pasaran saham adalah diharuskan di dalam Islam kerana ia adalah sebahagian dari bidang muamalah yang dibenarkan. Terdapat sebanyak 751 syarikat dari 953 syarikat yang disenaraikan di Papan Utama (Main Market) Bursa Malaysia adalah patuh Syariah. Ini bermaksud hampir 80 peratus syarikat yang disenaraikan dibolehkan untuk orang Islam melabur sebagai salah seorang pemilik saham syarikat tersebut. Syarikat-syarikat berdaya maju seperti MrDIY, AirAsia, Solarvest, Inari, Malaysia Airport, MyEG, Eco World, SP Setia, Sime Darby, KPJ, Farm Fresh, Parkson dan banyak lagi dari pelbagai bidang seperti pembinaan, teknologi, pengeluaran, peruncitan, perubatan, logistik, pemaju perumahan dan sektor-sektor lain yang patuh Syariah, yang terbuka untuk semua melabur di dalamnya.
Dengan kemajuan teknologi dan perkembangan pasaran saham Malaysia, kerajaan telah memudahkan dan menggalakkan masyarakat supaya celik tentang pengurusan kewangan. Pengurusan kewangan bukan sahaja mengenai menyimpan duit secara bulanan, malah perlu juga kefahaman tentang kaedah penjanaan pendapatan dengan lebih baik selain hanya mengharapkan pulangan dari dividen amanah saham dan juga bank. Pelaburan yang dilakukan adalah selamat dan dikawal oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia melalui Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan perundangan lain yang terlibat.
Tahukah anda bahawa nilai saham sesuatu syarikat di Bursa Malaysia yang mempunyai potensi tinggi mampu meningkat sehingga 100 peratus dalam masa setahun? Malah adalah perkara biasa di pasaran saham untuk melihat saham syarikat meningkat melebihi 10 peratus sebulan. Malah SC sendiri mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat
supaya menjadi pelabur yang bijak di pasaran saham. Statistik terkini menunjukkan bahawa terdapat hanya 7 peratus pelabur runcit dalam kalangan pelabur di bawah umur 45 tahun di Malaysia.
Terdapat beberapa kelebihan melabur di dalam pasaran saham, antaranya ialah:
1. Peluang pertumbuhan modal: Pelaburan di dalam syarikat berpotensi mampu memberikan pulangan yang lumayan dalam jangka masa panjang. Seorang pelabur
mampu mendapat pulangan dari kenaikan harga saham dan juga dividen yang dibayar oleh syarikat dari semasa ke semasa.
2. Diversifikasi: Seseorang pelabur boleh mengagihkan risiko pelaburan kepada beberapa syarikat dari sektor industri yang berbeza dalam mengawal risiko
pelaburannya. Ini kerana setiap sektor terdedah kepada risiko yang berbeza di dalam perniagaan yang dijalankan.
3. Pemilikan kepentingan syarikat: Seseorang pelabur memiliki sebahagian kecil dalam syarikat. Ini akan memberi anda hak untuk mengundi di dalam perjumpaan
pemegang saham syarikat tersebut, menerima maklumat mengenai prestasi syarikat dan mendapat manfaat dari kejayaan syarikat tersebut.
4. Kemudahan teknologi terkini: Dengan kemajuan teknologi, seseorang pelabur mampu mendapatkan maklumat terkini tentang pelaburan dan tindakan membeli
dan menjual boleh dilakukan secara online sahaja pada waktu pasaran dibuka tanpa perlu pergi ke bank atau seumpamanya. Urusan pelaburan boleh dilakukan di mana-
mana walaupun hanya menggunakan telefon bimbit.
5. Peluang membina kerjaya: Kemahiran pelaburan saham sangat berpotensi luas memandangkan bidang ini mampu memberi pulangan yang lumayan. Kemahiran
melabur yang dimiliki boleh dijadikan satu kerjaya dalam bidang pelaburan bersama institusi perbankan atau pelaburan yang semakin berkembang pesat di Malaysia.
Malah, dengan kemajuan teknologi masa kini, seseorang pelabur bukan sahaja mampu melabur di pasaran tempatan seperti Bursa Malaysia malah pelaburan saham boleh juga berlaku sehingga ke pasaran global seperti pasaran di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, dan Indonesia. Pasaran saham di Bursa Malaysia sahaja semakin meningkat dari tahun ke tahun dengan permodalan pasaran (market capitalization) sebanyak RM1.77 trillion pada tahun 2023 berbanding RM1.75 trillion pada tahun 2022.
Dengan kekuatan perundangan, kestabilan negara dan juga saiz pasaran yang besar inilah menjadikan pasaran saham Malaysia mampu menarik minat ramai pelabur dari luar negara untuk melabur. Kemasukan pelaburan luar akan merancakkan lagi pergerakan pasaran saham dan mampu meningkatkan lagi potensi syarikat dalam mengembangkan perniagaan masing-masing di dalam dan luar negara. Maka, pelabur yang bersama melabur di dalam syarikat tersebut akan menikmati kenaikan nilai saham dan juga pulangan dividen dari pelaburan yang dilakukan.
Sememangnya pasaran saham mempunyai risiko yang tersendiri. Seseorang yang ingin melabur seharusnya faham bahawa pelaburan saham bukanlah satu skim cepat kaya yang
mampu memberikan pulangan berganda dalam masa beberapa bulan. Perlu dibetulkan kefahaman bahawa pelaburan saham adalah seperti kita melabur ke dalam sesuatu
perniagaan lain seperti restoran, bengkel kereta ataupun pertanian.
Cuma bezanya ialah di pasaran saham skala perniagaannya sangat besar dan melibatkan skala pasaran dalam dan luar negara dengan pelaburan sehingga beratus juta ringgit, malah ada syarikat yang bernilai berbillion ringgit. Oleh itu, setiap pelabur perlu jelas tentang perniagaan syarikat yang ingin dilaburkan kerana setiap perniagaan adalah terdedah kepada risiko perniagaan seperti permintaan produk, pengurusan dalaman, kesan global, kekurangan sumber bahan mentah mahupun fenomena cuaca.
Bagaimana bermula?
Bagaimana bermula untuk melabur adalah sangat mudah. Terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan untuk menceburi pelaburan saham di Malaysia.
1. Pendidikan dan penyelidikan: Kefahaman dan pengetahuan tentang pelaburan saham sangat penting. Ilmu pelaburan dari sumber yang betul dari pengamal pelaburan saham bertauliah seperti remiser saham, perunding kewangan bertauliah dan Capital Market Service Representative License (CMSRL) sangat membantu dalam memahami tentang pasaran saham di Malaysia.
2. Membuka akaun dagangan saham: Anda perlu memiliki akaun Sistem Depositori Pusat (Central Depository System-CDS) yang diuruskan di bawah Bursa Malaysia dari
bank atau syarikat broker saham yang sah. Kebanyakan bank yang anda mempunyai akaun simpanan boleh untuk membuka akaun CDS ini. Ia berfungsi sebagai platform
untuk menyimpan dan mengemas kini setiap urusan jual beli saham anda di Bursa Malaysia.
Disarankan orang Islam untuk memiliki akaun CDS Islamik kerana akaun ini
hanya membenarkan pembelian saham patuh Syariah sahaja. Kos membuka akaun CDS ialah sebanyak RM10 dan anda mestilah berumur melebihi 18 tahun. Kebiasaannya, anda akan diletakkan bersama seorang remiser ketika membuka akaun CDS yang akan membantu serba sedikit tentang operasi platform yang didaftarkan. Setiap platform CDS adalah berbeza antara setiap syarikat broker di Malaysia.
3. Menyusun portfolio pelaburan: Anda perlu jelas dengan matlamat pelaburan, jumlah pelaburan, sumber pelaburan, tempoh pelaburan, kaedah pelaburan dan
risiko pelaburan yang bakal anda lalui. Setiap pelaburan yang dibuat terdedah kepada risiko yang tersendiri kerana tiada siapa mengetahui apa yang bakal berlaku
di masa akan datang.
4. Melakukan transaksi: Anda boleh mula melakukan transaksi menggunakan platform anda secara dalam talian apabila pasaran dibuka. Sebagai permulaan, anda boleh
bermula dengan jumlah yang kecil terlebih dahulu bagi membiasakan dengan pergerakan pasaran dan penggunaan platform CDS anda.
5. Pengurusan risiko: Sebelum melakukan transaksi pembelian, anda perlu tentukan risiko pelaburan bagi mengawal pelaburan anda. Ini kerana, saham syarikat akan
bergerak bergantung kepada permintaan dan penawaran oleh pelabur lain di dalam pasaran. Pasaran saham sukar dijangka dan tidak menentu kerana terlalu ramai
pelabur dan melibatkan unit saham yang sangat tinggi. Pastikan jumlah pelaburan anda diagihkan sewajarnya dalam mengelakkan kerugian maksimum.
6. Pembelajaran berterusan: Di samping melabur, anda digalakkan terus belajar menambah ilmu kerana terdapat pelbagai faktor asas (fundamental) dan teknikal
(technical) yang boleh mempengaruhi sesebuah syarikat yang dilaburkan. Terdapat juga pengumuman daripada pihak kerajaan seperti dasar dan polisi baharu yang mempengaruhi perniagaan di Bursa Malaysia. Faktor-faktor ini mampu menaikkan atau menurunkan nilai saham sesebuah syarikat. Pembelajaran berterusan terhadap
keadaan ekonomi, permintaan perniagaan, analisis pasaran, kemahiran teknikal, pengurusan kewangan, aliran dana pelaburan dan gelagat pelabur mampu
membantu seorang pelabur membuat keputusan pelaburan yang lebih baik.
Kesimpulannya, pelaburan saham bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti oleh masyarakat. Pelaburan saham adalah satu instrumen kewangan yang dikawal ketat oleh perundangan
dan dipantau oleh pihak kerajaan dan selamat untuk diceburi. Pasaran saham adalah satu alternatif dan peluang pelaburan yang terbuka luas untuk masyarakat di setiap peringkat
umur bagi meningkatkan pendapatan. Dapatkan kefahaman dari sumber yang betul dan lakukan pelaburan secara bijak menggunakan pengurusan risiko yang terkawal bagi
memaksimakan pulangan dari bidang pelaburan saham.
Oleh: Profesor Madya Sr. Dr. Abdul Jalil Omar
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
(Registered Capital Market Service Representative License)