Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Nazili Kadir (kanan) bersama pegawai melihat sebahagian 422 buah motosikal yang disita dalam Operasi Khas Motosikal di Stesen Pengkuatkuasa JPJ Labok malam tadi.

MACHANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan telah menyita 422 motosikal dan kenderaan sepanjang Operasi Khas Motosikal bermula 1 Sepembert hingga semalam.

Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Nazili Kadir berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 151 motosikal yang disita digunakan oleh warga Bangladesh dan etnik Rohingya.

“Sepanjang operasi itu dilaksanakan, sebanyak 14,163 kenderaan diperiksa.

“Jumlah kenderaan yang diambil tindakan ialah 2,053 buah, 5,015 saman dikeluarkan dan kenderaan disita sebanyak 422,” katanya pada sidang media selepas operasi itu di Stesen Pengkuatkuasa JPJ Labok, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Nazili berkata, operasi itu bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengendali atau pemilik motosikal yang melakukan kesalahan.

“Ia selaras dengan peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya.

“Operasi kali ini turut memberi tumpuan kepada kesalahan pelesenan pemandu, pelesenan kenderaan, melanggar isyarat lalu lintas, ubah suai dan lumba haram,” katanya.

Dalam pada itu, Nazili turut menasihati masyarakat di negeri ini supaya tidak memberi sewa atau meminjamkan kenderaan kepada warga asing kerana ia satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah.

“Warga asing yang memandu kenderaan tanpa lesen memandu yang sah apabila terlibat dengan kemalangan akan menyukarkan tuntutan insurans,” katanya. – Bernama