wee ka siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Pengendali platform QR DuitNow diminta untuk tidak mengenakan caj kadar diskaun pedagang atau ‘merchant discount rate (MDR)’ kepada pengguna.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, sebaliknya Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) perlu meneruskan penepian (waiver) MDR yang dilaksanakan sejak 2019.

“Mereka sepatutnya teruskan penepian bagi pengguna DuitNow QR yang kebanyakannya adalah dari peniaga kecil yang akan menerima bayaran tunai sekiranya mereka tidak mengguna DuitNow QR.

“Jadi, bank juga akan menerima manfaat dari pengurangan kos pengendalian wang tunai sekiranya peniaga lebih mengguna kaedah DuitNow QR berbanding wang tunai. Penepian ini juga adalah seiring dengan usaha Digitalisasi kerajaan,” kata Presiden MCA itu.

Media hari ini melaprokan, PayNet mengesahkan pengguna aplikasi itu akan dikenakan caj bermula 1 November ini.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata, caj MDR bukan perkara baharu kerana ia dikecualikan ketika tempoh pengenalan aplikasi pada 2019, bagi menggalakkan penggunaannya.

“Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian (‘waiver’) MDR pada pembayaran QR.

“Ia bukanlah suatu yuran baharu mahupun caj tambahan. Sebaliknya, 1 November adalah permulaan kepada penamatan penepian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih 9 bulan lalu,” menurut PayNet dalam kenyataan, hari ini.

Syarikat itu berkata, pihaknya tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembelian menggunakan QR DuitNow selepas MDR dikenakan.

Media tempatan sebelum ini melaporkan “merchant” atau penjual yang menerima pembayaran menerusi QR DuitNow akan dikenakan caj bergantung kepada mod pemindahan wang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast