BENTONG – Kempen calon Perikatan Nasional (PN) dilihat seakan sendu dan kurang mendapat sambutan.
Calonnya Kasim Samat berkata, kemungkinan para pengundi Cina takut dan segan untuk bersama menyokong kempen PN.
Justeru Kasim mengambil jalan untuk melakukan kempen secara tradisional dengan menziarahi pengundi.
“Kita akan pergiat mendekati secara ziarah seperti mana dibuat kawasan orang Melayu. Mungkin program ziarah bermakna bagi mereka.
“Mungkin pengundi Cina malu atau takut hadir kerana bimbang dilihat kawan-kawan. Sekarang dah agresif, kita kerja ikut jadual kempen dan buat,” katanya selepas Program Tanglung di Telemong, di sini, hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai ketidakhadiran pengundi India dan Cina ketika berkempen.
Dianggarkan lebih 4,000 pengundi dari kaum Tiong Hua dan India mengundi DUN Pelangai yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Kassim, Datuk Amizar Abu Adam (BN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).
Kasim mendakwa mendapat sokongan undi secara senyap daripada pengundi di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette