Pengunjung melintasi kubah hijau yang dibangun di atas makam Nabi Makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2021.

Oleh: Dr. Aizan Ali@Mat Zin

MAULIDUR Rasul disambut saban tahun di seluruh negara. Ini menunjukkan kepentingan figura hebat dan berjasa: Rasul junjungan Sayyidina Muhammad bin Abdullah, susuk yang dirindui oleh seluruh umat Islam yang memahami perjuangannya dan menghayati Islam yang diwahyukan kepada Baginda Rasulullah SAW. Ia selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah SAW uswah hasanah (contoh yang terbaik) bagi orang yang mengharapkan Allah SWT, hari akhirat dan sering menyebut nama Allah (al-Ahzab: ayat 21). Baginda SAW merupakan idola dan
model bagi umat Islam yang mengimani kewujudan Allah SWT dan hari akhirat serta banyak berzikir.

Rasulullah menjadi idola dalam segenap aspek kehidupan bermula dari sahsiah diri, pembentukan keluarga, masyarakat, kepimpinan, kenegaraan, perjuangan, dakwah, komunikasi, pemakanan, pemakaian, dan ibadah. Baginda merupaka model khalifah di muka bumi dan hamba Allah SWT. Kehidupan yang dijalani oleh Baginda penuh ranjau dan duri, dihina dan dikeji walaupun dari keturunan mulia dan terpuji, malah berasal dari pancir bangsa Quraisy yang terhormat. Namun wahyu dan kepercayaan yang didokong telah menongkah arus zaman dan membina jurang perbezaan dengan anutan datuk nenek serta masyarakat setempat, maka kehidupannya mula menjadi sukar, penuh dengan kecaman dan hinaan serta ugutan bunuh di kemuncak dakwah sekitar
Mekah.

Kehebatan akhlak dan adab baginda adalah al-Quran sebagaimana hadis yang diriwayatkan dalam Musnad Ahmad daripada Aisyah RA yang bermaksud: akhlaknya al-Quran.(No hadis 25813). Ia suatu deskripsi ringkas tapi padat dan tepat. Jawapan isteri kesayangan Baginda SAW membuktikan bahawa rasulullah menterjemahkan wahyu melalui perkataan, perbuatan, sakhsiah dan taqrirnya.

Pendek kata, umat Islam perlu mengkaji al-Quran dan al-hadis untuk mengenali dan menghayati sakhsiah diri Baginda Rasulullah SAW dan mempraktikkan dalam kehidupan sehari-hari walau di mana mereka berada. Nabi Muhammad seorang yang pengasih dan penyayang, pejuang dan pemaaf, tegas dan lembut, adil dan sabar, cerdik dan hikmah, pendakwah tegar dan pendidik keluarga, para sahabat dan ummah serta musuh. Toleransi dalam ketegasan mengundang rasa hormat dan gerun musuh kepada Islam.

Perpindahan pusat dakwah dari Mekah ke Madinah telah memancarkan sinar ketamadunan dan kemajuan ummah Islam dari kegelapan akidah kepada cahaya iman. Cahaya keimanan yang terang benderang telah membuka pintu kolaborasi dengan ramai pihak. Sebagai contoh, ilmu-ilmu aqli telah disesuaikan dengan ilmu-ilmu naqli di mana Baginda SAW meraikan kepelbagaian budaya, kreativiti dan inovasi yang tidak menyalahi aqidah dan syariah seperti kaedah penanaman kurma yang menghasilkan buah yang lebih berkualiti. Selain daripada itu, cadangan salman al-farisi menggunakan kaedah tentera parsi iaitu penggalian parit sebagai satu strategi perang dalam peperangan khandak (parit).

Selain daripada itu, dasar diplomasi Rasulullah SAW telah membolehkan umat Islam menunaikan haji dan umrah dengan aman di Mekah yang pada peringkat awal penurunan wahyu telah menjadi pusat penyeksaan dan ancaman bagi umat Islam. Variasi budaya dan agama berjaya diharmonikan dengan Piagam Madinah bagi menjamin keharmonian, kestabilan dan keamanan dalam kalangan masyarakat majmuk selagi tidak dilanggar oleh mana-mana pihak. Perjanjian demi perjanjian dimeterai bagi mencapai kata sepakat dan perdamaian. Keperluan pada ketika itu lebih kepada keamanan dari sudut keselamatan harta dan nyawa serta sumber kehidupan. Kaedah perjanjian dan pesefahaman secara bertulis antara dua pihak telah diwarisi hingga generasi pada hari ini dengan penjenamaan semula menggunakan bahasa Inggeris iaitu Memorandum Perjanjian  (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU).

Kesimpulannya, masyarakat Islam perlu menyedari kepentingan sirah nabawiyyah dan menghayati akhlak Nabi SAW serta meneladani Baginda SAW dalam bertingkah laku. Saban hari, media sosial melaporkan kepincangan akhlak masyarakat Islam dengan pelbagai kes salah laku, rasuah, perceraian, sikap biadap, penipuan, pengabaian tanggungjawab, pergolakan politik dan komunikasi negatif sesama insan, bunuh, hasad dengki, khianat, buli dan pelbagai lagi yang boleh menghasilkan senarai panjang dan memeningkan serta menggerunkan pembaca. Dunia yang indah dengan pelangi di pagi hari namun hujan dengan iringan ribut petir di tengah hari. Semoga terbit pelangi indah dan menenangkan di sebelah petang agar masyarakat boleh tidur dan menutup mata dengan sebuah
senyuman.

Salam hormat buat sahabat handai,
Tangan dihulur bersalam-salaman
Hidup harmoni aman dan damai
Rasulullah inspirasi sepanjang zaman

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast