Komuniti yang terdiri daripada golongan ibu mengikuti program pemindahan ilmu berkaitan penanaman kaedah fertigasi anjuran UMT.

RATA-rata rakyat Malaysia mengeluh dengan kenaikan harga barangan keperluan harian yang semakin menghimpit saban hari. Kenaikan kos sara hidup adalah isu besar yang sering menjadi perbualan dan keluhan masyarakat masa kini terutamanya bagi keluarga kategori B40. Malaysia memiliki kira-kira 40 peratus daripada 31 juta penduduk yang dikelasifikasikan sebagai B40 dengan memiliki purata pendapatan isi rumah berjumlah RM4,850 dan ke bawah setiap bulan.

Peningkatan kos sara hidup dapat memberi kesan langsung terhadap kualiti hidup setiap individu dan keluarga. Seburuk mana pun krisis kewangan yang dihadapi keluarga, kehidupan mesti diteruskan! Namun, ahli keluarga harus sedar akan kemelut kewangan yang sedang dihadapi keluarga dan perlu mengambil pendekatan sewajarnya bagi mengurangkan beban perbelanjaan terutamanya golongan ibu.

Sebagai ‘pengurus’ rumah tangga, kaum hawa mempunyai peranan penting dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan dan mengimbangi kenaikan kos sara hidup. Pengurusan perbelanjaan keperluan dapur kebiasannya adalah ‘ditadbir’ oleh golongan ibu samada mereka bekerjaya mahupun suri rumah. Golongan ini perlu menyusun belanjawan yang bijak untuk memastikan wang keluarga digunakan secara berhemah dengan mempertimbangkan keutamaan keperluan barangan dalam perbelanjaan seperti makanan basah, keperluan rumah, pendidikan anak-anak dan penjagaan kesihatan. Pengurangan pembelian barangan yang bukan keperluan adalah langkah wajar dalam menstabilkan kedudukan kewangan dan dana itu boleh digunakan untuk perbelanjaan lebih penting.

Selain itu, perbelanjaan keperluan makanan adalah merupakan jumlah terbesar bagi perbelanjaan bulanan keluarga. Langkah kerajaan memperkenalkan menu rahmah merupakan perkara yang baik dan ia perlu dikembangkan ke semua kawasan termasuk perkampungan. Inisiatif yang boleh diambil oleh para ibu adalah dengan menyediakan makanan di rumah mengikut kesesuaian masa dan menu ringkas lagi berkhasiat. Dengan memasak sendiri, kos perbelanjaan makanan dapat dijimatkan dengan ketara berbanding membeli makanan di luar atau makan di restoran yang rata-rata berlaku peningkatan harga kebelakangan ini.

Bagi tujuan itu juga, suri rumah boleh mengingatkan ahli keluarga terutamanya kanak-kanak berusia bawah 10 tahun untuk sentiasa peka terhadap penggunaan perkakasan elektrik dengan mematikan suis peralatan elektrik yang tidak digunakan. Langkah ini membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan seterusnya mengurangkan perbelanjaan bil elektrik kediaman.

Bagi keluarga yang mempunyai ruang untuk bercucuk tanam, ibu bapa disaran untuk mengambil peluang itu dengan menanam sayuran ringkas seperti sawi, kacang panjang, bendi atau tanaman lain yang menggunakan kaedah tertentu seperti hidroponik. Ilmu pengetahuan berkaitan penanaman tersebut sangat mudah diperolehi di internet terutamanya laman YouTube. Selain itu, institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sering menganjurkan program pemindahan ilmu kepada komuniti dengan mengadakan bengkel pengenalan berkaitan kaedah penanaman sayuran mudah sepeti cili, bendi, terung, sawi, tomato ceri, cendawan dan lain-lain tumbuhan ulaman sehingga perkongsian berkaitan pembuatan baja daripada bahan yang mudah didapati. Aktiviti itu boleh dijadikan rutin bersama-sama ahli keluarga sebagai ‘quality time’ yang menyihatkan selain mengeratkan hubungan antara satu dengan yang lain.

Usaha lain yang boleh dilakukan para suri rumah ialah dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Ditambah pula dengan platform media sosial yang rata-rata digunakan oleh kebanyakan rakyat negara ini, peluang itu boleh digunakan untuk dijadikan medium promosi produk yang ditawarkan. Walaupun pendapatan hasil perniagaan itu dilihat kecil, namun tekad itu mampu menampung perbelanjaan kecil seperti keperluan duit saku anak-anak yang bersekolah.

Peranan golongan ibu terutamanya suri rumah amat penting dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup. Susun atur perancangan keutamaan keperluan serta penerapan gaya hidup yang bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa memberi impak besar terhadap ‘akaun bank’ yang mungkin memberikan kelegaan kepada para suami seterusnya keselesaan serta kesejahteraan kehidupan seisi keluarga.

Amirul Salam Hasan
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast