KUALA LUMPUR – Polis telah mengeluarkan sebanyak 23,247 saman kesalahan trafik yang dilakukan oleh warga asing sejak tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagi tahun 2022, sebanyak 18,385 saman dikeluarkan membabitkan 15,221 saman ekor (K170A) dan saman secara bersemuka (K257) sebanyaj 3,164.
“Daripada jumlah saman itu, kita dapati hanya sebanyak 2,178 saman yang telah diselesaikan oleh mereka (warga asing).
“Setakat Ogos lalu, sebanyak 4,862 saman dikeluarkan ke atas warga asing atas kesalahan trafik membabitkan saman K170A (2,720) dan K257 (2,142) yang mana hanya 1,703 saman yang telah selesai dibayar oleh warga asing,” kata beliau.
Ayob Khan berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pagi tadi.
Tambah beliau, pihak polis telah melaksanakan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing khususnya berfokuskan di lima negeri iaitu Kelantan, Johor, Perlis, Kedah dan Perak.
Tambahnya, operasi warga asing turut dijalankan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sebelum ini, media pernah melaporkan JPJ dalam operasinya mengeluarkan 14,527 saman terhadap penunggang motosikal warga asing di seluruh negara atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal 2023 bermula 1 hingga 20 September yang lalu di seluruh negara.
Menurut JPJ, kesalahan paling tinggi yang dikesan dilakukan oleh warga asing di atas jalan adalah tidak memiliki lesen memandu membabitkan 6,268 saman, tiada perlindungan insurans (2,667), lesen kenderaan motor tamat tempoh (2,657) dan lain-lain kesalahan teknikal 1,948 saman. – MalaysiaGazette