Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan

KUALA LUMPUR – Caj yang dikenakan terhadap vendor yang menerima bayaran melalui platform kod QR DuitNow tidak akan membebankan golongan bawahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tersebut ekoran kebimbangan para vendor mengenai kadar yang bakal dikenakan pengendali platform itu, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mulai 1 November ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu adalah telah dijelaskan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dalam perbincangan semalam.

“BNM ada tugasnya biar dia jalankan tugas.

“Sekarang yang penting, tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan menengah,” katanya kepada pemberita selepas melawat pameran Postnormal Times di KL Jazz & Art Center di sini, hari ini.

PayNet dalam satu kenyataan semalam memberitahu, terdapat dua e-pembayaran berbeza dikenakan caj, iaitu kadar diskaun peniaga (MDR) dan fi 50 sen bagi transaksi melebihi RM5,000.

Jelasnya, MDR bukanlah caj baharu atau tambahan, sebaliknya insentif untuk menggalakkan penggunaan pembayaran kod QR yang diperkenal pada 2019 dengan MDR telah dikecualikan.

Setakat ini, tiga bank iaitu Maybank, CIMB dan Public Bank mengecualikan caj DuitNow QR sehingga satu masa yang akan diberitahu kelak.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pagi tadi untuk mesyuarat pra-Kabinet.

“Mesyuarat pra-Kabinet seperti biasa,” katanya. – MalaysiaGazette