KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus memberi bayangan awal bahawa Harimau Selatan akan muncul sebagai pasukan yang lebih kuat musim depan.
“Saya fikir tahun depan kami akan lebih kuat dari tahun ini,” tulis di laman Instagram miliknya yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Menerusi laman sama di ruangan Instastory, TMJ turut memuat naik senarai pemenang trofi Liga Super sejak saingan itu diperkenalkan pada 2004.
“Statistik tidak menipu, selamat datang ke zaman profesional,” katanya.

Musim ini menjadi musim paling cemerlang buat JDT selepas kejayaan mereka mencipta beberapa rekod baharu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Selepas berjaya menyelesaikan misi mempertahankan trofi Liga Super selama sedekad, Harimau Selatan kini boleh menyamai rekod Kedah yang menjulang kejuaraan ‘trebel’ dua kali berturut-turut pada 2007 dan 2008 sekiranya berjaya memenangi Piala Malaysia.