RCI Najib
Dr. Akmal Saleh

JASIN – Kerajaan akan memastikan program khas jualan 90,000 kilogram (kg) beras putih tempatan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), esok tidak disalahguna kepada warga asing di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata, bagi tujuan itu, setiap Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan DUN (JAPERUN) diarah melakukan pemantauan sepanjang program jualan itu berlangsung.

“Sebanyak 9,000 kampit beras putih tempatan bersaiz 10 kilogram (kg) setiap satu akan dijual pada harga RM26 esok yang mana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga negeri akan memastikan ia hanya dijual kepada warga tempatan.

“Pemantauan akan dilakukan sepanjang program bagi mengelakkan bukan warga negara turut membeli beras tempatan, malah kita juga menetapkan setiap keluarga hanya boleh beli sekampit beras,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra MADANI Bersama Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga ADUN Merlimau berkata program jualan beras itu dijangka diadakan setiap minggu berdasarkan bekalan yang diperoleh daripada Kawalselia Padi dan Beras sehingga situasi berkenaan kembali pulih.

“Selain itu, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) jjuga akan bekerjasama memantau penjualan beras tempatan di semua pasar raya dan kedai runcit.

“Ini bagi memastikan bekalan berkenaan sampai kepada rakyat dan penguatkuasaan perlu dilakukan secara tegas dan terperinci terutama bagi mengekang pemborong atau pengilang beras yang mengambil kesempatan,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Tahniah dan terima kasih YB Merlimau. Sepatutnya tindakan ini dilakukan sejak dulu lagi. Kerana kemurahan hati warganegara Malaysia yg sanggup berkongsi dgn Pendatang Asing, menyebabkan perkara ini terjadi. Disamping penguatkuasaan yg tegas diharap rakyat pun sama menjalankan tanggungjawab dan jgn menjadi pengkhianat kepada ekonomi negara sendiri, kononnya tanda simpati.

  2. program ni sekali hingga tamat penggal PRU atau akan dibuat DUA kali setiap bulan? jangan terpengaruh dengan Agus JKom kata 10kg cukup Dua TIGA bulan satu keluarga sudah..

  3. Xperlu pun buat mcm tu..lambak kan seperti biasa beras dipasaran..biar rakyat pergi ke kedai mcm kebiasaan…kenapa perlu jabatan kerajaan lakukan urusan jualan…peruncitan perlu berjalan seperti biasa,pelik dan hairan beras pula dijadikan modal kerajaan utk urusan jualan…

Comments are closed.