Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Lima anggota polis antara enam suspek berjaya dicekup polis selepas disyaki bersubahat dan terlibat dalam perbuatan jenayah melarikan seorang awam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pada 26 September lalu, pihaknya telah menerima laporan polis daripada mangsa mengenai kejadian tersebut.

Pengadu seorang lelaki warga tempatan dalam laporan berkenaan menyatakan  dirinya telah dibawa lari oleh sekumpulan lelaki dari sebuah kedai makan yang terletak di Desa Petaling.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku lebih kurang 3.45 pagi dan mangsa seorang penganggur berumur 26 tahun telah disyaki dilarikan oleh kumpulan suspek itu.

“Bertindak atas maklumat,  pada 27 September lalu polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas suspek enam lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam kes yang disiasat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zam Halim, kesemua suspek itu yang berumur dalam lingkungan 27 hingga 42 tahun telah ditahan pada 27 September lalu di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Katanya, siasatan mendapati hasil daripada tangkapan itu, lima suspek adalah terdiri daripada pegawai dan anggota polis manakala seorang lagi suspek awam adalah penganggur.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menculik yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 dan juga mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

“Kesemua suspek telah direman selama sehari dan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan terperinci sedang diteruskan oleh polis dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis  berdekatan. – MalaysiaGazette