banglo Guan Eng saw yee fung kerajaan PH bekalan gula
Saw Yee Fung

KUALA LUMPUR – Tindakan mengenakan caj ke atas vendor yang menerima bayaran melalui platform kod QR DuitNow dikhuatiri boleh menyebabkan orang ramai tidak lagi menggunakan e-dompet.

Jurucakap MCA, Saw Yee Fung berkata, langkah itu boleh memberi kesan terhadap pembangunan ekonomi digital di negara ini.

“Saya percaya bahawa apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah untuk menerima pakai dasar bagi penggunaan e-dompet, sekali gus menggalakkan transformasi ekonomi digital.

“Saya juga mencadangkan agar kerajaan mengurangkan caj perkhidmatan atau yuran pengendalian e-dompet, menggalakkan lebih ramai pengguna dan peniaga untuk menggunakannya dan membantu menggalakkan transformasi ekonomi digital negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pengendali platform DuitNow, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dalam satu kenyataan semalam memberitahu, terdapat dua e-pembayaran berbeza dikenakan caj, iaitu kadar diskaun peniaga (MDR) dan fi 50 sen bagi transaksi melebihi RM5,000.

Jelasnya, MDR bukanlah caj baharu atau tambahan, sebaliknya insentif untuk menggalakkan penggunaan pembayaran kod QR yang diperkenal pada 2019 dengan MDR telah dikecualikan.

Hari ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan caj yang bakal dikenakan itu tidak akan membebankan golongan bawahan.

Yee Fung menambah, pada masa yang sama, infrastruktur digital domestik dan infrastruktur rangkaian di negara ini perlu diperkukuhkan lagi.

“Terutamanya di kawasan luar bandar, dan bekerjasama dengan pemain industri untuk menggalakkan transformasi teknologi industri kewangan supaya bank dan pemain industri kewangan boleh mencapai kesalinghubungan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast