KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menolak secara tegas cadangan dua kerakyatan yang disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di New York minggu lepas.
Ahli Dewan Tertinggi (ADT), Zarina Zainal Abidin turut menggesa rakyat Malaysia khususnya bumiputera menentang cadangan yang dibangkitkan itu.
Tegas beliau, sebarang kajian berkaitan isu kerakyatan tidak perlu dilakukan sama sekali dan Putra muktamad menolaknya daripada dibangkitkan.
“Merujuk kepada Perkara 24 (1), kerajaan persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia kepada individu yang telah memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyataan.
“Hakikat utama ditegaskan di sini ialah sesiapa sahaja iaitu rakyat yang telah dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Anwar dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincangkan lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia melibatkan keputusan dasar yang utama.
Jelas beliau, Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri akan menyediakan kertas kerja serta membincangkan implikasinya.
“Buat masa ini kami tidak memihak. tetapi oleh kerana ada permintaan, kami akan melihatnya dan tengok sama ada kami perlu menyesuaikan atau tidak,” kata Anwar ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan untuk kerajaan membenarkan dwikewarganegaraan bagi menggalakkan golongan profesional Malaysia yang tinggal di luar negara menyumbang kepada pembangunan negara, tanpa perlu memilih antara tanah air dan negara angkat.
Mengulas lanjut, Zarina berkata, mengikut rekod Kementerian Dalam Negeri, lambakan warganegara China yang masuk ke Malaysia antara tahun 2018 hingga 2021 dikesan seramai 1.2 juta.
Kata beliau, ini merupakan jumlah yang amat menggusarkan dan perlu diambil tindakan telus serta tegas kerana ianya pelangaran undang-undang dan soal keselamatan negara.
“Ini yang patut diberi keutamaan, bukan soal kerakyatan dan dikejutkan pula dengan pengumuman Menteri Pelancongan mengenai cadangan pengecualian visa kepada pelancong dari China dan India atas nama kepentingan merancakan ekonomi.
“Ini boleh membawa padah kepada keselamatan negara dan masalah sosial yang kini pun sudah parah dan tidak terkawal.
“Cuba bayangkan jika pelancong China masuk tanpa tapisan melalui visa dengan bebas, pasti ramai akan hilang dan menetap di Malaysia,” katanya.
Kata beliau lagi, isu rasuah akan lebih buruk lagi dalam kalangan penguatkuasa.
Tegas Zarina yang juga Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti Putra, parti itu dengan tegas mendesak Anwar dan Kabinet Kerajaan Perpaduan menolak cadangan memansuhkan visa untuk pelancong China dan India.
Sebaliknya, kerajaan perlu utamakan keselamatan negara dahulu dari alasan ekonomi semata-mata, malah banyak lagi cara untuk merancakkan ekonomi.
“Buka minda serta pandangan yang lebih luas berkaitan perkara ini. Sedarlah hal ini mengundang mudarat daripada membawa keuntungan kepada negara khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
“Malaysia sudah pun terkenal dengan aktiviti pelacuran warga asing, judi, penyeludupan dadah dan macam-macam jenayah lagi yang semakin tidak terkawal.
“Sebelum nasi menjadi bubur, wajar untuk Anwar menyoroti dengan serius prinsip Rukun Negara ketiga iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Undang-undang,” katanya.
Perdana Menteri juga harus menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran serta kemuliaan asas Perlembagaan Negara yang merupakan sumber perundangan tertinggi tanpa sebarang kompromi jika beliau sayangkan negara.
“Jangan kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan. Rakyat wajib sedar terutama kaum pribumi akan isu ini. Sudah tiba masanya setelah 66 tahun merdeka, pribumi patut sediakan payung sebelum hujan,” kata beliau. – MalaysiaGazette