Foto Instagram Yazan Al-Arab.

KUALA LUMPUR – Pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab menjelaskan dia berada dalam tertekan sehingga bertindak luar kawalan menyepak pengadil perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara Red Giants dan Terengganu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Pemain dari Jordan itu berkata, kematian sepupu beberapa hari sebelum perlawanan menjadi antara faktor namun sedar tindakannya itu adalah keterlaluan hingga meletakkan pasukan dan rakannya dalam situasi sukar.

“Tiada kata-kata yang boleh gambarkan perasaan saya ketika ini. Saya mohon maaf atas tindakan saya dan akan jadikannya sebagai pembelajaran untuk jadi lebih baik pada masa akan datang.

“Saya mohon maaf juga kepada penyokong Red Giants. Ia terjadi kerana tekanan psikologi perlawanan dan kematian sepupu saya beberapa minggu sebelum ini.

“Saya tahu ini bukan alasan buat saya melakukan semua ini dan ini bukan karakter saya ataupun apa yang saya belajar dalam Islam,” tulis di Instagram miliknya di sini.

Pada perlawanan itu, Selangor sekadar seri 1-1 untuk mengesahkan kemaraan Terengganu ke separuh akhir hasil kejayaan 3-1 secara agregat.

“Saya mesti minta maaf kepada semua orang dalam sistem bola sepak Malaysia dan Jordan. Saya akan terus kekal setia sebagai pahlawan Selangor.

“Saya sayangkan sukan ini dan tidak akan pernah berhenti untuk kerja keras dan harap semuanya akan jadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.