Najib Razak Petronas pelaburan KWSP
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perancangan Kerajaan Madani untuk kembali menggunakan sistem apungan terurus untuk harga minyak membuktikan Datuk Seri Najib Razak telah melakukan perkara yang betul semasa menjadi Perdana Menteri dahulu.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, sistem yang digunakan oleh pentadbiran Najib mulai 1 Disember 2014 hingga Mei 2018 itu terbukti tidak menyebabkan inflasi yang terlalu tinggi dalam tempoh tersebut dan pada masa yang sama, bekalan barang asas tidak terputus.

Namun, menurut beliau, sistem apungan terurus telah dimansuhkan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebelum kembali ke subsidi pukal.

“Sekarang Kerajaan Madani ingin kembali kepada sistem Najib pula sebab subsidi pukal terbukti gagal dan terlalu membebankan.

“Jika tak baik untuk negara, kenapa pula Kerajaan Madani mahu kembali ke sistem Najib?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sian See mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada 26 Jun lalu bahawa kerajaan sedang secara berperingkat memansuhkan sistem subsidi menyeluruh ke arah sistem subsidi bersasar.

Beliau menambah, berbeza dengan situasi sekarang, Najib pada masa itu mencari masa yang paling sesuai untuk memansuhkan subsidi pukal untuk mengelakkan kadar inflasi naik iaitu ketika harga minyak dunia terjunam semasa krisis harga minyak dunia pada 2014.

Sian See memberitahu, ketika pemansuhan pada 2014 itu, harga sebenar RON95 yang dalam trend menurun tidak berbeza dengan harga kawalan di Malaysia.

“Akibatnya, harga RON95 telah turun pada bulan-bulan mendatang selepas ia dimansuhkan Najib.

“Keadaan ini telah mengelakkan peniaga-peniaga untuk guna alasan harga petrol naik untuk naikkan harga barang,” jelasnya.

Beliau berkata, keadaan hari ini adalah amat berbeza sebab harga sebenar RON95 adalah sekitar RM3.30 berbanding harga kawalan RM2.05 iaitu perbezaan sebanyak RM1.25 seliter.

Sehubungan itu, Sian See bertanya tentang mekanisme yang akan digunakan untuk menaikkan harga RON95 ke harga sebenar yang jauh lagi tinggi tanpa memberi kejutan kepada kadar inflasi sekiranya subsidi pukal dimansuhkan secara berperingkat tahun depan.

“Adakah kami bakal menyaksikan kenaikan harga RON95 sebanyak 10 sen seliter setiap bulan untuk 12 bulan berturut?

“Dan adakah ini tidak akan menyebabkan kadar inflasi mencanak naik di mana peniaga akan gunakan alasan harga petrol naik untuk naikkan harga setiap bulan?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast