Yahya Long (dua dari kiri) berasa wakil beberapa NGO pada sidang media mengenai isu lambakan warga asing di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Gabungan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara mendesak kerajaan menangani secara serius isu kebanjiran dan lambakan warga asing.

Gabungan NGO itu yang berhimpun dalam satu konvensyen di sebuah hotel di ibu negara petang ini sepakat mahu kerajaan memberi tumpuan kepada keresahan rakyat berhubung permasalahan pendatang asing yang membelenggu kehidupan seharian.

Ketua Ketua Penyelaras World Friendship Community (WFC) Malaysia, Yahya Long Ali menegaskan, jumlah warga asing yang berada di negara ini ketika ini dianggarkan lebih empat juta orang.

Yahya Long Ali

Ini, katanya, tidak termasuk jumlah yang diseludup masuk secara haram, yang sudah tamat tempoh berada di Malaysia dan pelarian yang meminta suaka politik.

“Permasalahan kebanjiran dan lambakan warga asing ini sudah terlalu lama berlaku dan disuarakan oleh NGO kepada pemerintah, tetapi baik kerajaan dahulu mahupun sekarang, sama sahaja.

“Mereka tidak prihatin dengan permasalahan yang dihadapi rakyat tempatan dan akhirnya desakan kita itu hilang begitu sahaja.

“Justeru, bagi menyatakan kepada kerajaan betapa seriusnya isu ini, WFC telah melancarkan talian aduan bagi membolehkan mana-mana pihak atau individu menyalurkan maklumat mengenai warga asing,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan konvensyen, di sini, hari ini.

Lebih 50 wakil NGO hadir dengan masing-masing memberi pandangan, cadangan dan resolusi untuk bagaimana mengatasi atau menyelesaikan isu warga asing.

Menurut Yahya Long, pihaknya dengan gabungan NGO cuba untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan warga asing dengan membawa isu berkenaan secara lebih serius kepada kerajaan.

“Isu ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan, bahkan rakyat sendiri perlu membentuk satu gelombang bagi tanganinya.

“Setakat ini kita akan memperhalusi bentuk memorandum yang akan dihantar kepada kerajaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Istana Negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast