KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan membatalkan permohonan visa oleh pelancong dari China ke Malaysia menimbulkan reaksi marah dan tidak puas hati banyak pihak.
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) khususnya membantah cadangan itu yang disifatkan sebagai suatu mengejutkan, selain akan menimbulkan kontroversi.
Timbalan Presidennya, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir menegaskan, selain menimbulkan kemarahan dan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia, cadangan itu sebagai langkah tidak bijak dan tidak bertanggungjawab.
“Sebelum ini, isu pelancong dari negara China yang masuk Malaysia, tetapi tidak keluar selepas tamat tempoh visa telah menjadi perhatian utama.
“Ramai bimbang pelancong ini akan menjadi beban kepada ekonomi dan sosial negara atau terlibat dalam aktiviti jenayah serta pengganasan.
“Namun, keputusan terbaharu kerajaan ini seolah mengabaikan isu berkenaan, selain menganggapnya sebagai masalah kecil,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghasilkan satu laporan berkenaan pengecualian visa untuk pelancong China.
Beliau dilaporkan berkata, kerajaan dijangka mendrafkan dasar mengenai hari lawatan yang dibenarkan untuk berada di Malaysia melalui perkhidmatan pengecualian visa.
Menurutnya, laporan daripada KDN tersebut dijangka tersedia dalam tempoh seminggu dua.
Soal Dr. Aziz Jamaludin lagi, apa motif sebenar kerajaan membuat keputusan itu?
“Adakah kerajaan hanya mementingkan keuntungan sektor pelancongan tanpa mengambil kira kesan jangka panjang kepada keselamatan dan kestabilan negara?
“Adakah kerajaan telah terpengaruh oleh tekanan atau rayuan dari China yang mahu memperluas pengaruhnya di rantau ini?
“Tambahan pula, keputusan ini jelas bertentangan dengan dasar Urus dan Kawal Hubungan yang pernah diamalkan kerajaan sebelumnya,” kata beliau.
Beliau berkata, dasar itu bertujuan untuk menjaga hubungan baik dengan negara China, tetapi juga memastikan kedaulatan dan kepentingan negara tidak dikorbankan.
Sekarang, katanya, kerajaan telah melupakan dasar itu dan menggantikannya dengan dasar terbuka yang berisiko tinggi.
Kata beliau, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui rasional di sebalik keputusan itu dan kerajaan tidak boleh diam membisu atau mengelak daripada memberikan penjelasan munasabah.
“Rakyat juga berhak mengetahui sama ada sistem kawalan Imigresen benar-benar efisien atau tidak. Jika masih lemah dan tidak cekap, keputusan untuk tidak mengenakan visa kepada pelancong dari negara China harus ditarik balik segera.
“Putra menyeru kerajaan meneliti semula keputusan ini dan mendengar suara rakyat. Keputusan ini bukan sahaja boleh membahayakan keselamatan dan kestabilan negara, tetapi juga boleh merosakkan imej Malaysia di mata dunia,” katanya. – MalaysiaGazette