HANGZHOU – Pelari pecut sensasi Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mempamerkan larian hebat untuk meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki di Stadium Olimpik Hangzhou, di sini malam ini.
Pencapaian Muhammad Azeem memenangi pingat sulungnya di peringkat antarabangsa juga menoktahkan penantian lebih empat dekad negara untuk penyudah podium dalam acara utama atau reben biru sejak Datuk Rabuan Pit memperoleh emas dalam edisi 1982 di New Delhi, India.
Pelari berusia 19 tahun itu memastikan tempatnya di podium dengan mencatatkan masa 10.11 saat (s), hanya 0.02 saat perlahan daripada rekod kebangsaan miliknya, iaitu 10.09s yang dicipta semasa Kejohanan Olahraga Dunia Bawah-20 di Cali, Colombia.
Atlet China Xie Zhenye menyamai rekod peribadi terbaiknya iaitu 9.97s untuk memperoleh emas sementara wakil Thailand Puripol Boonson juga melakukanya dengan baik dengan masa 10.02s untuk perak selepas rakan senegara Soraoat Dapbang terdahulu tersingkir kerana mula palsu. – Bernama