PETALING JAYA – Skim Simpan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) berjaya mengumpul tabungan sebanyak RM15.81 bilion melibatkan 6.04 juta akaun sehingga 31 Ogos lalu.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, peningkatan akaun dan jumlah simpanan membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik pilihan ibu bapa dan penjaga di negara ini.
Justeru, PTPTN menyasarkan jumlah deposit Simpan SSPN bagi Bulan Menabung SSPN (BMS) 2023 akan meningkat sebanyak RM220 juta.
“Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama oleh pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan.
“Kejayaan program BMS 2018 hingga 2022 adalah penanda aras terbaik kepada PTPTN bagi merealisasikan matlamat ini,” katanya ketika melancarkan BMS 2023 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Lembaga Pengurusan PTPTN.
Menurut Norliza, PTPTN telah membantu seramai 3.84 juta pelajar melibatkan dana pinjaman berjumlah RM70.02 billion sehingga 31 Ogos lalu.
Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
Walaupun Simpan SSPN menunjukkan peningkatan, Norliza bagaimanapun melahirkan kebimbangan terhadap kaji selidik oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) menerusi data Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 hingga 2022 yang mendapati sebanyak 84 peratus masyarakat tiada simpanan tetap setiap bulan.
“Daripada hasil kajian tersebut, mereka mengakui menyimpan secara tetap hanya untuk jangka pendek sahaja dan kebiasaannya simpanan itu akan dikeluarkan semula pada hujung bulan untuk menampung perbelanjaan harian.
“Menerusi dapatan ini, saya bimbang sekiranya situasi ini berterusan, masalah kewangan di kalangan masyarakat akan meningkat dan boleh menjejaskan impian anak-anak untuk melanjutkan pengajian sekali gus memberi kesan kepada kehidupan mereka,” katanya.
Pada majlis tersebut Norliza menyampaikan penghargaan dan insentif kepada tiga buah sekolah rendah di Selangor yang telah berjaya menjalankan modul Kelab Simpanan Pendidikan.
Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Cabutan WOW! Syoknya Raya yang diadakan sempena perayaan Aidilfitri yang lalu.
BMS 2023 merupakan program signature PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat di negara ini.
Buat julung kali BMS dilaksanakan menerusi konsep jelajah merentasi 14 negeri di lokasi terpilih seluruh negara selama sebulan bermula 1 Oktober sehingga 31 Oktober.
BMS 2023 bertemakan Robotik: Ke arah Transformasi Dunia Pendigitalan dengan mengekalkan tagline Jom Jadi Superhero Anak Anda.
Konsep tersebut amat signifikan kerana sains dan teknologi robot berkait rapat dengan kemajuan dan memerlukan pengetahuan tentang teknologi terkini.
Ia juga selari dengan agenda pendigitalan PTPTN yang memberi fokus kepada usaha menggalakkan penggunaan aplikasi myPTPTN untuk urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat.
Cabutan BMS 2023 diteruskan lagi pada tahun ini dengan hadiah wang tunai yang lebih lumayan berjumla RM75,000 kepada seramai 66 pemenang.
Pendeposit yang membuat penambahan simpanan melalui aplikasi myPTPTN akan mendapat kelayakan cabutan berganda. Untuk maklum lanjut berkenaan BMS 2023 layari www.ptptn.gov.my/BMS2023.-MalaysiaGazette